MELAKA - Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum merempuh kotak kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Ayer Keroh-Gapam dekat sini pada malam Isnin.
Kejadian kira-kira jam 9 malam itu, menyebabkan mangsa, Tan Tian Hau, 48, yang menunggang motosikal jenis Honda Dash meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Gapam menghala ke Ayer Keroh.
Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar kotak kuasa milik TNB yang berada di bahu jalan.
"Mayat mangsa telah di bawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan motosikal mangsa dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut," ujarnya.
Artikel Berkaitan