Sektor e-dagang jana RM302.4 bilion pada suku kedua

Iklan
Afandi (enam dari kanan) bersama usahawan Zon Timur pada program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) siri 5 Zon Timur tahun 2024 yang berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur, di sini pada Selasa.

SEKTOR e-dagang Malaysia mencatatkan pendapatan RM302.4 bilion pada suku kedua tahun ini dengan peningkatan sebanyak 7.8 peratus berbanding RM293.2 bilion tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Afandi Nordin berkata, ini menunjukkan e-dagang bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan usahawan, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

Iklan
Iklan

"Saya menyeru agar semua usahawan mengambil peluang ini untuk mempertingkatkan lagi tahap pendigitalan perniagaan secara berterusan agar dapat memaksimumkan keuntungan perniagaan masing-masing.

"Keuntungan perniagaan di era ekonomi digital ini juga sangat luas kerana ia tidak terhad kepada pasaran tempatan sahaja malah melibatkan pasaran luar negara," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap dan merasmikan program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) siri 5 Zon Timur tahun 2024 yang berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur, di Kuantan pada Selasa.

Seramai 262 usahawan daripada Zon Timur terlibat dalam program yang berlangsung selama dua hari dan sasaran keseluruhan untuk tahun ini adalah untuk mendigitalkan 1,200 usahawan desa melalui 6 siri program.

Iklan

Sehingga kini, program ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 1,008 usahawan dari seluruh negara dalam 5 siri program yang diadakan pada tahun ini.

Afandi berkata, pencapaian itu menunjukkan ekonomi digital adalah enjin pertumbuhan masa depan, dan program PPU di bawah Desamall berperanan penting dalam memastikan usahawan desa turut serta dalam perkembangan ini.

Jelasnya, program Desamall dijangka dapat meningkatkan pendapatan usahawan sebanyak 10 hingga 30 peratus selepas tempoh setahun pemasaran produk secara dalam talian.

Beliau menambah, transformasi digital penting dalam usaha memastikan perniagaan kekal berdaya saing dalam era Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang didorong oleh perkembangan pesat teknologi.

"Usahawan desa perlu mengambil peluang untuk mengadaptasi solusi perniagaan digital bagi mengembangkan perniagaan ke peringkat nasional dan global," katanya.