MABMI jalin kerjasama SAABM kukuhkan budaya bangsa Melayu

Iklan
Kunjungan MABMI turut disertai beberapa pengarang media Malaysia bergambar bersama Ismail Sabri (tengah).

KUALA LUMPUR - Majelis Adat Budaya Melayu Indonesia (MABMI) berhasrat mengadakan kerjasama lebih erat dengan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM) bagi mengukuhkan lagi kedudukan budaya bangsa Melayu.

MABMI menyampaikan hajat untuk menjalin kerjasama itu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan pengasas dan penaung SAABM dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur, malam Isnin.

Iklan
Iklan

Ketua Umum Pengurus Besar MABMI, Prof Dr Ok Saidin SH berkata, pihaknya memandang tinggi usaha yang digerakkan oleh Ismail Sabri dalam memartabatkan bahasa Melayu sewaktu pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia sehingga hari ini.

"Kami melihat beliau sebagai seorang pejuang bahasa Melayu. Telah banyak usaha yang dilaksanakan oleh beliau, seperti penggunaan Bahasa Melayu sewaktu berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Sesi Ke-77 pada 24 September 2022.

Iklan

"Perkara tersebut adalah satu sejarah yang membanggakan buat orang Melayu,” katanya yang mengetuai delegasi MABMI melakukan kunjungan hormat ke atas Ismail Sabri bagi menyatakan hasrat dan jemputan tersebut.

MABMI adalah sebuah lembaga sosiobudaya bagi menghimpunkan masyarakat Melayu Indonesia yang bermatlamat memelihara dan mengembangkan adat serta kebudayaan Melayu bagi masyarakat pendukungnya.

Iklan

Dalam pertemuan itu, Ismail Sabri turut menghargai usaha MABMI yang ditubuhkan sejak tahun 1971 di Sumatera Utara.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, MABMI telah memainkan peranan yang sangat penting dalam melestarikan budaya Melayu terutama di Medan, Indonesia.

Ismail Sabri turut berkongsi aspirasi yang sama dengan MABMI seperti usaha pemerkasaan bahasa Melayu yang kian terpinggir dalam masyarakat hari ini.

Delegasi MABMI terdiri daripada Ok Saidin: Ketua Pengurus Besar, Asro Kamal Rokan; Ketua Pengurus Besar, Datuk Adil Fredy Haberham; Ketua Pengurus Besar; Azrin Naim dan Pengurus Besar, Faris Saleh Bashel.

Turut hadir Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli dan Ketua Pegawai Eksekutif UtusanTV, Datuk Zulkifli Hamzah.