[VIDEO] Keracunan makanan: Exco arah heret pengusaha kantin ke mahkamah

Iklan

IPOH - Jabatan Kesihatan Perak diarah mengheret pengusaha kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor dekat sini ke mahkamah susulan kejadian keracunan makanan membabitkan 134 murid di sekolah berkenaan minggu lalu.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, pendakwaan di mahkamah akan dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan amalan sebelum ini mengikut akta tersebut, pegawai kesihatan diberikan kuasa untuk mengarahkan mana-mana premis yang tidak bersih diarah tutup selama 14 hari termasuk kantin sekolah tersebut.

Sivanesan (dua dari kiri) ketika meninjau keadaan kantin SK Chepor yang diarah tutup selama 14 hari susulan kes keracunan makanan di sekolah tersebut.

"Dalam seksyen yang sama, kita boleh mendakwa di mahkamah tetapi jarang-jarang kita buat kerana kita tidak mahu hukum seseorang semata-mata keadaan itu tetapi ini merupakan kes yang sangat serius.

Iklan

"Jadi saya juga telah memutuskan bahawa kita harus mendakwa dia sebab kita ada cukup kes untuk buktikan di mahkamah. Kes ini harus dibawa ke mahkamah, dia akan didakwa dan biar dia buktikan kes ini di mahkamah," katanya kepada pemberita selepas melawat kantin SK Chepor di sini pada Selasa.

Sivanesan berkata, proses pendakwaan tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat melalui pendakwa raya Jabatan Kesihatan Perak.

Iklan

Sivanesan (kiri) mendengar taklimat daripada Jabatan Kesihatan ketika meninjau keadaan kantin SK Chepor pada Selasa.

Beliau berkata, tindakan tegas itu diputuskan sebagai memberi pengajaran kepada semua pengusaha kantin lain supaya tidak memandang ringan soal kebersihan premis masing-masing.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pengusaha kantin terbabit juga sudah ditamatkan kontrak serta-merta susulan isu terbabit.

"Saya nasihatkan kepada jabatan (pendidikan) untuk tamatkan kontrak serta-merta sebab dia dah dapat dua teguran sebelum ini secara bertulis daripada pihak pentadbiran sekolah, jadi memang dia ada rekod.

"Saya juga meminta kepada pihak sekolah pada masa akan datang supaya melantik seorang guru bukan sahaja untuk menjaga kebersihan kantin, tetapi bertindak sebagai taste panel. Beliau kena rasa sedikit makanan sebelum diserahkan kepada anak-anak," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sivanesan turut memberi amaran kepada pengusaha restoran di negeri ini agar memastikan premis mereka sentiasa berada dalam keadaan bersih.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan melayan sebarang rayuan daripada mana-mana pihak jika melakukan kesalahan berkaitan isu kebersihan kerana ia melibatkan nyawa.