KKM sedang menilai tahap kesihatan mental kanak-kanak GISBH

Iklan
Dzulkefly. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang membuat penilaian tahap kesihatan mental kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal kendalian GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kanak-kanak yang terjejas dikhuatiri berdepan dengan isu kesihatan mental akibat trauma dihadapi.

Iklan
Iklan

"Banyak perkara masih dalam siasatan. Kami (KKM) akan terlibat dari sudut untuk memberi kaunseling dan saya percaya bahagian Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) terlibat di peringkat klinik," katanya kepada media selepas majlis sambutan Hari Warga Emas peringkat KKM 2024, di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kanak-kanak yang terjejas telah diberikan kaunseling, namun statistik terkini masih belum diperoleh.

Iklan

Dzulkefly berkata, secara umumnya, NCEMH bekerjasama dalam menyediakan sokongan kaunseling kepada kanak-kanak manakala KKM terlibat dalam hal-hal berkaitan aspek kesihatan dan perubatan.

Beliau berkata, sokongan perkhidmatan secara khusus akan diberikan kepada kanak-kanak yang terjejas berlandaskan kepakaran KKM.

Iklan

Pada 11 September lepas, polis menyerbu 20 rumah amal dikendalikan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan, dan menyelamatkan 402 kanak-kanak susulan dakwaan pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan perbuatan cabul. - Bernama