Profesional kewangan digesa tangani ketidaksamaan upah

Iklan
Jurang upah akan menjejaskan struktur ekonomi serta sosial di peringkat global, termasuk di rantau Asia-Pasifik. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Profesional kewangan dan perakaunan perlu menangani ketidaksamaan upah termasuk mengambil peranan utama dalam mempromosikan amalan perniagaan yang mampan, menurut laporan yang diterbitkan oleh ACCA Global, Shift dan Forvis Mazars.

Bertajuk 'A Living Wage - Crucial for Sustainability,' laporan itu memberi amaran bahawa tanpa tindakan segera, jurang upah akan terus menjejaskan struktur ekonomi serta sosial di peringkat global, termasuk di rantau Asia-Pasifik (APAC).

Iklan
Iklan

Berdasarkan pandangan meliputi lebih 1,000 peserta di 93 negara, bersama-sama dengan perbincangan yang melibatkan lebih daripada 50 kewangan dan profesional perniagaan, laporan itu memberikan bukti yang meyakinkan tentang kesan pengganda sosio-ekonomi berkaitan upah sara hidup.

Ia menekankan bahawa bayaran kepada pekerja di bawah upah sara hidup akan menghalang pemeliharaan dan pembangunan modal insan.

Iklan

"Inisiatif perniagaan serta pelabur yang melibatkan pemimpin dari seluruh wilayah semakin menonjolkan kepentingan membayar upah sara hidup untuk mengurangkan ketidaksamaan serta risiko berkaitan kepada masyarakat, ekonomi dan sistem kewangan.

"Namun, hanya 33 peratus daripada responden yang berpangkalan di Malaysia merasakan tanggungjawab tersebut perlu diperluaskan kepada pembekal peringkat pertama mereka, malah lebih sedikit daripada itu,” kata laporan itu.

Iklan

Selain itu, laporan berkenaan turut menggariskan kaitan yang tidak dapat dinafikan antara upah sara hidup serta kemampanan, dengan 87 peratus responden kaji selidik dari Malaysia mengakui hubungan ini.

Upah sara hidup mampu mengurangkan ketidaksamaan, meningkatkan kestabilan ekonomi, melonjak daya tahan perniagaan, menyokong hak asasi manusia, mengukuhkan rantaian bekalan serta bertindak balas terhadap peningkatan permintaan kawal selia dan pelabur bagi amalan bertanggungjawab sosial.

Dari perspektif Malaysia, menangani jurang upah amat penting memandangkan komitmen negara untuk mengurangkan ketidaksamaan di bawah rangka kerja ekonomi Madani.

Rangka kerja ini bertujuan untuk mengangkat martabat serta status Malaysia dengan memberi tumpuan kepada dua objektif utama: menyusun semula ekonomi bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam kalangan ekonomi Asia dan memastikan kekayaan yang terhasil dikongsi secara saksama oleh rakyat.

Dengan memperjuangkan upah sara hidup, kewangan profesional di Malaysia boleh menyelaraskan amalan perniagaan dengan matlamat pembangunan negara.

Laporan itu menggesa profesional kewangan untuk meningkatkan perbincangan mengenai upah sara hidup ke peringkat lembaga, menyepadukannya ke dalam strategi kemampanan dan memimpin melalui teladan dalam rantaian nilai mereka, bermula dengan pembekal Tahap Pertama.

Rangka kerja kawal selia seperti Piawaian Pelaporan Kemampanan Eropah (ESRS) dan Arahan Usaha Wajar Kelestarian Korporat (CSDDD), semakin menekankan kepentingan upah sara hidup.

"Para profesional kewangan di rantau APAC, termasuk Malaysia, mesti bersedia untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah ini bagi amalan bertanggungjawab sosial, memastikan organisasi mereka berada pada kedudukan terbaik untuk keperluan kawal selia masa hadapan,” kata laporan itu.

Ketua Eksekutif ACCA Global, Helen Brand OBE menyatakan profesional perakaunan serta kewangan bertanggungjawab pada standard etika tertinggi.

Beliau memberitahu hak semua pekerja dan kontraktor untuk mendapatkan upah hidup adalah satu tanggungjawab etika, memberikan profesional kewangan peluang unik dalam menjadikan matlamat ini sebagai sebahagian teras dalam usaha kemampanan mereka.

Presiden Shift dan Pengasas Bersama Caroline Rees menekankan upah hidup adalah hak asasi manusia.

Tanggungjawab organisasi di bawah piawaian antarabangsa dalam menghormati hak asasi manusia memerlukan pampasan yang mencukupi untuk pekerja dalam organisasi mereka sendiri, serta memanfaatkan amalan pembelian dan hubungan perniagaan mereka untuk mempromosikan upah sara hidup sepanjang rantaian nilai mereka, katanya lagi.

"Perubahan tidak berlaku dalam sekelip mata tetapi ketua pegawai kewangan boleh dan perlu memacu kemajuan yang boleh ditunjukkan dalam isu penting ini,” katanya.

Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan Forvis Mazars (London) Richard Karmel menjelaskan organisasi menghadapi peralihan yang ketara ketika model perniagaan mereka berkembang ke arah kemampanan.

Ketidakupayaan untuk membayar upah hidup pada sepanjang rantaian nilai, termasuk dalam organisasi sendiri, akan menimbulkan persoalan tentang kemampanan model perniagaan itu.

"Sekarang adalah masa untuk menilai secara kritikal daya maju model perniagaan ini dan membuat pilihan yang sukar dengan tumpuan kepada modal insan,” tambahnya. - Bernama