Dakwaan guru paling ramai ambil MC tanpa bukti tidak bertanggungjawab - NUTP

Iklan
Fouzi berkata, dakwaan itu secara tidak langsung mempersoalkan tahap profesionalisme serta etika kerja pegawai perubatan yang komited menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.

SHAH ALAM - Mana-mana pihak mengaitkan guru sebagai golongan penjawat awam yang paling ramai mengambil sijil cuti sakit (MC) tanpa disertakan data sahih dan bukti kukuh adalah sangat tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, ia secara langsung mempertikai profesionalisme 450,000 guru yang sangat cemerlang menjalankan tugas mendidik anak bangsa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dakwaan itu secara tidak langsung mempersoalkan tahap profesionalisme serta etika kerja pegawai perubatan yang komited menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.

"Perintah Am 15 Bab C memperuntukkan Ketua Jabatan boleh menggunakan budi bicaranya untuk menerima MC yang dikeluarkan doktor swasta bagi tujuan meluluskan cuti sakit.

Iklan

"Peraturan berkaitan penerimaan MC daripada doktor swasta diperjelas melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2006, iaitu surat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, JPA.SARAAN (S) 43/34. Jld.3(24) bertarikh 18 Februari 2022 dan kerajaan membuat Penambahbaikan Peraturan Pengesahan Sijil Sakit Swasta yang Melebihi 15 Hari Bagi Rawatan Pesakit Luar oleh Pegawai Perubatan Kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar mengenai kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bahawa golongan guru adalah kumpulan penjawat awam paling ramai terbabit dalam salah laku memalsukan MC, selain ada yang dikesan sengaja memohon cuti kecemasan (EL) untuk kepentingan peribadi.

Iklan

Cuepacs dilaporkan berkata, setiap tahun kira-kira satu hingga dua peratus daripada 10,000 penjawat awam dikenal pasti memberi MC palsu selain sengaja menggunakan cuti kecemasan semata-mata mahu melanjutkan tempoh bercuti.

Tambah Fouzi, dalam konteks guru, MC akan diberikan oleh pegawai perubatan yang bertauliah sama ada berkhidmat di hospital atau klinik kerajaan atau pun di hospital serta klinik swasta.

"MC ini diberikan selepas pegawai perubatan mendapati seseorang guru itu tidak sihat untuk menjalankan tugasnya dengan sempurna untuk tempoh tertentu.

"Bagaimanapun, jika didapati benar ada dalam kalangan guru yang mengambil MC palsu, sila ambil tindakan berdasarkan undang-undang, peraturan atau seksyen sedia ada," katanya.

Ujar Fouzi lagi, melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 (Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan), NUTP berterima kasih kepada kerajaan Madani kerana terus mengiktiraf peranan dan sumbangan guru dengan mengekalkan laluan kenaikan pangkat 'time-based' secara 8863.