Deijl tak lepas syarat sertai Harimau Malaya - FIFA

Iklan
Mats Deijl

HASRAT Mats Deijl memperkuatkan bahagian benteng skuad bola sepak negara tidak kesampaian apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan tonggak kelab Eredivisie Belanda, Go Ahead Eagles Deventer tidak melepasi syarat.

Jelas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), berdasarkan dokumentasi dilampirkan kepada FIFA didapati pemain berusia 27 tahun itu hanya mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang beliau, dan bukannya melalui datuk atau nenek seperti ditetapkan dalam syarat badan induk bola sepak dunia berkenaan.

Iklan
Iklan

Kata FAM, Deijl sebelum ini menunjukkan minat mewakili Harimau Malaya, dan FIFA telah pun dimaklumkan pemain tersebut mempunyai darah keturunan Malaysia.

"Justeru FAM sejak dari 27 Jun lalu telah pun dapat menghubungi secara rasmi kelab, ejen dan pemain itu sendiri bagi membincangkan mengenai kelayakannya untuk bermain dengan pasukan Malaysia.

Iklan

"Berdasarkan semakan, pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang (ibu kepada datuk pemain) yang telah lahir di Singapura pada 24 Jun 1893, yang mana Singapura merupakan sebahagian dari Tanah Melayu ketika itu,” kata FAM pada Selasa.

Bagi mendapatkan pengesahan secara rasmi berkenaan kelayakan pemain itu FAM telah menghantar surat kepada FIFA bagi mendapatkan pandangan mengenai status Deijl yang ingin mewakili Harimau Malaya melalui darah keturunan moyangnya iaitu ibu kepada datuk pemain pada 23 September lalu.

Iklan

"FIFA melalui surat bertarikh 25 September 2024 telah menghantar maklum balas mengenai perkara ini dan memaklumkan bahawa:"Unfortunately, the player’s ascendants’ nationalities beyond his grandparents (i.e., the player’s great grandparents or ulterior ascendants) do not grant the Player the possibility to be eligible to represent your association’s representative team(s), as the list set forth in art. 8 par. 1 lit. c) of the RGAS is exhaustive.

"Berdasarkan jawapan FIFA itu, FAM mengesahkan pemain ini tidak dapat mewakili Harimau Malaya disebabkan darah keturunan Malaysia adalah daripada moyangnya (ibu kepada datuk pemain) dan bukan di peringkat datuk atau nenek pemain seperti syarat ditetapkan FIFA,” kata FAM yang tetap berterima kasih kepada Deijl atas minat yang ditunjukkan untuk mewakili Harimau Malaya, namun ia tidak dapat direalisasikan.

Sebagai rekod, Artikel 8 Peraturan-Peraturan Yang Mengawal Permohonan Statut FIFA berkaitan kelayakan mewakili pasukan kebangsaan, (Regulations Governing The Application Of The Statutes), mana-mana pemain boleh mewakili sesebuah negara jika pemain tersebut memenuhi syarat seperti berikut.

Pertama, pemain itu lahir di negara tersebut; atau kedua, ibu pemain dan ayah pemain lahir di negara tersebut; atau ketiga, datuk dan nenek pemain lahir di negara tersebut; atau keempat, pemain itu menetap di negara tersebut melebihi tempoh lima tahun.