KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Shigeru Ishiba atas pemilihannya sebagai Perdana Menteri baharu Jepun.
Anwar juga berharap dapat bekerjasama rapat dengan Ishiba bagi meningkatkan kerjasama, meneroka peluang baharu, dan terus membina masa depan yang dipenuhi dengan kemakmuran dan keselamatan bersama.
"Setinggi-tinggi tahniah kepada Shigeru Ishiba atas pemilihannya sebagai Perdana Menteri Jepun.
"Jepun merupakan antara rakan kongsi yang paling dihargai dan penting bagi Malaysia, dan ikatan ini semakin kukuh pada Disember lepas apabila kita meningkatkan hubungan kepada kerjasama strategik yang komprehensif,” katanya dalam catatan di Facebook pada Selasa.
Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP) itu dipilih sebagai Perdana Menteri di Dewan Perwakilan hari ini, menggantikan Fumio Kishida.
Pilihan raya diadakan pada waktu keyakinan awam yang rendah terhadap politik, ekonomi yang rapuh, dan kebimbangan keselamatan yang semakin meningkat, lapor Agensi Berita Kyodo
Anwar berkata, peranan Jepun dalam perjalanan ekonomi Malaysia adalah sangat penting, dengan syarikat-syarikat Jepun berperanan sebagai rakan kongsi yang tidak ternilai dalam usaha negara menuju ekonomi berteknologi tinggi dan bernilai tinggi.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kishida atas dedikasi dan usaha tanpa henti beliau dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Jepun. - Bernama