RM8 juta untuk Pusat Dialisis Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim - PM

Iklan
Anwar (dua dari kiri) ketika beramah mesra dengan pengunjung semasa Majlis Ramah Mesra Bersama Peniaga-peniaga Pasar Besar Siti Khadijah di Laman Siti Khadijah pada Selasa.

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM8 juta bagi menampung kos membina dan menyiapkan sebuah Pusat Dialisis Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan ini disalurkan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan di bawah Jabatan Kerja Raya Malaysia.

Menurut beliau, perkara berkenaan sudah dipersembahkan kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ketika pertemuan di Istana Negeri, Kubang Kerian di sini.

"Semoga dengan kelulusan ini dapat membantu dalam penyediaan infrastruktur yang kondusif dan selamat untuk kegunaan rakyat yang memerlukan di Kelantan.

"Sempena lawatan saya di Kelantan hari ini, saya sempat berbincang dengan Sultan Kelantan dan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berbuhung beberapa pelaksanaan projek di sini," katanya semasa merasmikan Majlis Ramah Mesra Bersama Peniaga-peniaga Pasar Besar Siti Khadijah di Laman Siti Khadijah di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut memaklumkan ada beberapa projek perlu disegerakan seperti projek tebatan banjir, loji air walaupun membabitkan kos yang tinggi.