Lawatan Anwar beri dorongan baharu kepada hubungan Malaysia-India

Iklan
Muzafar Shah. Foto Bernama

NEW DELHI - Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke New Delhi baru-baru ini memberi dorongan baharu kepada hubungan Malaysia-India, memandangkan kedua-dua negara berusaha untuk meningkatkan perdagangan dua hala sebanyak 25 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Muzafar Shah Mustafa.

Lawatan itu menandakan satu pencapaian penting apabila hubungan dua hala dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Ogos, katanya pada majlis resepsi Hari Kebangsaan Malaysia di New Delhi pada Isnin.

Iklan
Iklan

"Hubungan perdagangan kita yang mencecah hampir AS$20 bilion pada 2023, dijangka terus berkembang dengan matlamat untuk mencapai AS$25 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya.

Sementara itu, penubuhan Majlis Digital Malaysia-India juga membuka potensi kerjasama lebih erat dalam bidang seperti keselamatan siber, kecerdasan buatan, dan infrastruktur awam digital, kata Muzafar.

Iklan

Majlis resepsi itu dihadiri oleh kira-kira 300 orang, termasuk ketua-ketua perwakilan diplomatik ASEAN, duta-duta negara lain dan pegawai kerajaan.

Para tetamu turut menyaksikan persembahan kebudayaan tradisional Malaysia oleh sekumpulan pelajar dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang melanjutkan pengajian di Universiti KLE di Karnataka, selatan India.

Iklan

Setiausaha timur di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri India, Jaideep Mazumdar menekankan minat yang mendalam yang dipamerkan kedua-dua pihak dan penglibatan peringkat tinggi untuk memperkukuhkan hubungan termasuk pertukaran antara rakyat dan pelancongan.

Beliau turut menggalakkan ahli perniagaan di India dan Malaysia untuk memanfaatkan hubungan yang semakin berkembang ini. - Bernama