Baling daerah terbaru di Kedah terjejas banjir

Iklan
Mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Siong dan mula dibuka pada jam 1 pagi pada Selasa.

ALOR SETAR - Daerah Baling menjadi daerah baharu terjejas banjir di Kedah, namun jumlah mangsa telah menurun kepada 1,114 orang daripada 359 keluarga dan berlindung di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4.30 petang pada Selasa.

Berdasarkan laporan Info Bencana daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah itu menurun berbanding 1,332 orang daripada 426 keluarga pada malam Isnin.

Iklan
Iklan

Seramai 263 mangsa daripada 95 keluarga di daerah Baling telah ditempatkan di lima buah PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pari, SK Siong, SK Malau, SK Seri Bayu dan Dewan Orang Ramai Banggol Derom.

Daerah Pokok Sena masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu dengan 459 orang daripada 145 keluarga yang masih berlindung di PPS Surau Desa KEDA Derang, Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, Dewan Serbaguna Pokok Sena, SK Bukit Hijau Mukim Derang, dan Masjid Kampung Baru Jalan Lampam.

Iklan

Sementara itu, di daerah Kota Setar pula, seramai 392 mangsa daripada 119 keluarga ditempatkan di tiga buah PPS iaitu PPS SK Titi Gajah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas, dan SMK Alor Merah.

Berdasarkan laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat jam 4 petang pada Selasa, Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Jambatan TAR serta Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya di Kota Setar, telah melepasi paras bahaya.

Iklan