Rayuan Najib, anak tangguh prosiding bankrap didengar 6 Januari 2025

Iklan
Najib dan anaknya, Mohd Nazifuddin (kanan).

KUALA LUMPUR - Rayuan Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka akan didengar pada 6 Januari tahun depan.

Prosiding kebankrapan itu adalah kerana mereka gagal melunaskan tunggakan cukai masing-masing sebanyak RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.

Iklan
Iklan

Peguam Wee Yeong Kang, yang mewakili bekas Perdana Menteri dan anak lelakinya itu berkata, rayuan tersebut difailkan pada 6 Ogos lepas.

"Prosiding pendengaran rayuan itu akan berlangsung di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Suhendran Sockanathan @ Saheran Abdullah menerusi aplikasi Zoom,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Iklan

Pada 16 Oktober 2023, Mahkamah Persekutuan memutuskan kedua-dua beranak perlu melunaskan cukai tertunggak selepas menolak rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Najib dan anaknya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memasukkan penghakiman dalam kes tunggakan cukai mereka.

Iklan

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Dua Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai daripada Najib dan Mohd Nazifuddin bagi tempoh 2011 dan 2017.

Mereka gagal mengetepikan penghakiman terus itu di Mahkamah Rayuan pada September 2021.

Pada 10 Mei 2022, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada mereka untuk meneruskan rayuan. - Bernama