PELUMBA Team dsm-firmenich PostNL, Max Poole berjaya memenangi peringkat ketiga atau 'Queen stage' dari Taiping ke Cameron Highlands dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.
Poole tampil dengan henjutan bertenaga ke garisan penamat sekali gus mengenepikan beberapa pelumba pilihan lain dalam perlumbaan sejauh 170.3 kilometer (km).
Pakar pendakian pasukan Astana Qazaqstan, Harold Martin Lopez di kedudukan kedua dan tempat ketiga pula diraih Thomas Pesenti dari JCL UKYO.
Pelumba Great Britain berusia 21 tahun itu mengakui saingan sengit menuju ke garisan penamat namun berjaya memastikan pecutan terbaik sehingga garisan penamat.
"Ramai yang bagus (dalam pendakian) berada berdekatan saya. Saya cuba untuk menyelesaikan tugas ini dengan melakukan henjutan ketika memecut menuju ke garisan penamat.
"Ia berlangsung dengan baik. Gembira mendapatkan kemenangan pertama di sini," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.
Poole melintasi garisan penamat dengan catatan masa empat jam 24 minit 34 saat (s) membolehkannya merampas jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan (10:03.58s), diikuti Martin Lopez (0:05s) dan Pesenti (0:06s).
Dalam pada itu, Martin Lopez mengakui dengan kehebatan Poole terutama ketika memecut menuju ke garisan penamat dan dia terpaksa berpuas hati di tempat kedua walaupun mendapat bantuan daripada rakan sepasukan, Anthon Charmig.
"Dia lebih baik ketika melakukan pecutan, saya tidak risau hanya perlu berasa gembira dengan kedudukan kedua ini.
"Ada banyak lagi peringkat mungkin kami boleh mendapat keputusan baik. Apa sahaja boleh berlaku," katanya.
Selain itu, Poole turut turut merangkul jersi polka dot (Raja Bukit) dengan mengumpul 15 mata selepas memenangi zon pendakian ketiga berstatus Hors Class di Brinchang.
Peringkat ketiga ini juga menyaksikan dua pelumba kehilangan jersi, Nur Aiman Rosli (Terengganu Cycling) dan Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team) yang sebelum ini berjaya menguasai Terbaik Asia dan Raja Pecut.
Jersi putih berpindah milik kepada pelumba JCL Team UKYO, Manabu Ishibashi, manakala jersi jingga (Raja Pecut) dirampas rakan sepasukannya yang juga juara peringkat kedua, Matteo Malucelli.
Perlumbaan peringkat keempat akan bersambung esok dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong dengan jarak 131.2km dengan menawarkan tiga zon pecutan di Raub, Sungai Ruan dan Sungai Klau, manakala hanya terdapat satu zon pendakian di GAP.