KOTA BHARU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masalah yang sedang dialami oleh pesawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan segera selesai apabila Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bersetuju memberi kelulusan bersyarat.
Menurut beliau, pada 18 September lalu sewaktu persidangan KADA dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah membuat rayuan ke atas larangan pembinaan apa-apa struktur merentasi sungai kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) Kelantan.
"Kertas rayuan ini telah dibentang oleh Datuk Timbalan KSU (Pembangunan) KPKM.
"Melalui persidangan tersebut, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bersetuju memberi kelulusan bersyarat kepada KPKM dan KADA bagi pelaksanaan projek berkenaan iaitu tertakluk kepada laporan teknikal pakar dan memenuhi keperluan perundangan," katanya semasa merasmikan Majlsi Ramah Mesra Bersama Peniaga-peniaga Pasar Besar Siti Khadijah di Laman Siti Khadijah di sini pada Selasa.
Anwar memberitahu, bekalan air bagi tanaman padi di Kelantan diperoleh dengan mengepam air Sungai Kelantan melalui tiga pam utama yang dikawal selia oleh KADA iaitu Stesen Pam Kemubu, Kasa dan Lemal.
"Dulu saya luluskan RM20 juta untuk beli pam tetapi pam sedia ada yang diberi tidak sampai ke permukaan air kerana masa itu kemarau dan sekarang sudah dapat diadakan.
"Kita sudah bincang dan kerajaan negeri bersetuju meluluskan laluan tanah dan menyegerakan projek ini kerana ia projek rakyat. Dalam musim kemarau pam itu akan terus dimasuki air untuk kegunaan tanaman padi dan sayuran," katanya.
Menurut beliau, ada yang bertanya kenapa peruntukan lama tetapi tidak dapat dilaksanakan.
Ujarnya, ia kerana pam sedia ada tidak cukup dalam untuk bawa keluar air ke kawasan sawah.
"Tetapi nampaknya ia telah selesai dengan kelulusan serta persetujuan yang diberikan oleh kerajaan negeri pada 18 September lalu.
"Saya percaya KSU dan kementerian akan dapat segerakan pelaksanaan itu dan nak tegaskan peruntukan RM20 juta itu telah lama diluluskan tapi ambil masa untuk pelaksanaan," katanya.