GEORGE TOWN - Wanita yang mendakwa bahawa dirinya dipaksa menjadi pelacur oleh sindiket pinjaman wang tidak berlesen dalam satu program audio siar di aplikasi TikTok didapati telah mereka-reka cerita tersebut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, wanita berusia 26 tahun itu didapati berbuat demikian hanya kerana ingin meluahkan perasaan.
Menurutnya, wanita itu dikesan berada dalam keadaan selamat di sebuah rumah di Seberang Perai Utara (SPU) pada jam 10.50 malam Isnin.
"Pada semalam, kira-kira jam 3 petang, satu laporan polis telah dibuat berkaitan video berdurasi 18 minit 31 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok bernama @m.ikhwan_amin_007.
"Semakan mendapati satu laporan polis turut dibuat oleh pengendali audio siar tersebut berkaitan panggilan telefon yang diterima," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Hamzah, susulan daripada itu, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pulau Pinang dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Timur Laut berjaya mengesan wanita tersebut.
"Wanita itu ditemui dalam keadaan selamat di sebuah rumah di SPU. Hasil soal siasat yang dijalankan mendapati dia telah menghubungi program audio siar tersebut pada 26 Julai lalu.
"Kejadian yang didakwa iaitu dia dipaksa bekerja tanpa gaji oleh along di 'rumah merah' adalah tidak benar dan tidak pernah berlaku. Wanita itu telah mereka cerita kejadian tersebut sekadar untuk meluahkan perasaan," jelasnya lagi.
Beliau berkata, wanita tersebut turut mengakui telah membuat pinjaman wang dengan beberapa buah syarikat pinjaman wang dan ada menerima ugutan daripada syarikat tersebut kerana gagal membayar hutang.
"Menurut wanita itu, ibunya yang tinggal di kampung turut menerima ugutan. Kes disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. Ia memperuntukkan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan denda RM1,000 satu ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan," katanya lagi.
Hamzah turut menasihati orang ramai agar tidak mudah mempercayai dan menyebarkan apa yang ditonton di media sosial tanpa menyemak kesahihan perkara tersebut.
"Penyebaran berita-berita palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Pihak polis turut menasihati orang ramai agar membuat laporan polis sekiranya diganggu atau menerima ugutan daripada along untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Sebelum ini, satu klip video tular di TikTok satu sesi audio siar yang memaparkan pengakuan seorang wanita berusia 26 tahun mendakwa dia dipaksa menjadi pelacur setelah bapanya berhutang dengan sindiket pinjaman wang tidak berlesen.
Pengakuan itu dibuat ketika wanita tersebut menghubungi pengendali audio siar yang mengupas mengenai isu komuniti ketika bersiaran langsung di TikTok.
Menurut wanita yang mempunyai seorang anak berusia empat tahun itu, bapanya berhutang sebanyak RM20,000 dan memberi alamat rumah di kampung selain menjadikan ibu serta adik beradiknya sebagai penjamin.
Dakwa wanita, dia dijadikan pelacur oleh sindiket tersebut sejak Februari tanpa dibayar gaji dan mendakwa dirinya kini berada di Pulau Pinang.