Kerajaan pertimbang setiap permohonan bina infrastruktur

Iklan
Hui Ying (tengah) merasmikan Persatuan Penyokong Perayaan Keng Teong Guan pada lawatan kerja ke Kampung Parit Bilal pada Selasa. Foto Bernama

BATU PAHAT - Kerajaan memberikan pertimbangan sewajarnya bagi setiap permohonan peruntukan untuk pembinaan infrastruktur, dalam perancangan dan pelaksanaan dasar belanjawan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Beliau berkata, hal ini selaras dengan pendirian kerajaan yang mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

Iklan
Iklan

"Namun, kita perlu mengambil kira kekangan semasa dan memastikan perbincangan dibuat dengan teliti agar setiap penyelesaian yang dicadangkan akan memberi impak positif dan berpanjangan,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja di Kampung Parit Bilal di sini pada Selasa.

Mengulas mengenai lawatan itu, beliau berkata, Kementerian Kewangan (MOF) mengambil maklum keluhan penduduk Kampung Parit Bilal dan Jalan Parit Ahmad mengenai masalah infrastruktur yang dihadapi.

Iklan

Hui Ying berkata, antara masalah yang dibangkitkan ialah runtuhan tebing Sungai Simpang Kanan, banjir kilat kerana sungai cetek dan kerosakan jalan.

"Antara isu kritikal yang dikenal pasti dalam lawatan ini ialah runtuhan tebing sungai di Jalan Parit Ahmad. Jalan ini bukan sahaja menjadi laluan penting kepada penduduk setempat, malah turut berfungsi sebagai laluan alternatif untuk mengurangkan kesesakan di sekitar Jalan Bukit Pasir dan Jalan Tongkang Pechah.

Iklan

"Cadangan pembinaan konkrit berbentuk U di sepanjang tebing untuk menstabilkan kawasan ini amat baik dan kami akan pertimbangkan dengan serius," katanya.

Beliau berkata, cadangan untuk mendalamkan sungai dan mengeluarkan pasir merupakan langkah yang baik untuk mengurangkan risiko banjir pada masa akan datang.

"Kami akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang akan mengemukakan kertas cadangan kaedah untuk membaiki keadaan ini dan saya daripada pihak MOF akan membuat tindakan susulan yang diperlukan,” katanya.

Lawatan kerja Hui Ying ialah sebahagian daripada Program Santuni Madani yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Mei lepas.

Program berkenaan memperuntukkan sebuah kampung angkat untuk dijaga oleh setiap pemimpin bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi mereka sekali gus menawarkan penyelesaian kepada isu berbangkit. - Bernama