KKR tumpu industri jalan raya, pacu teknologi kejuruteraan jalan

Iklan
Ahmad Maslan ketika berucap merasmikan majlis Pra-Pelancaran Persidangan Jalan Se-Malaysia ke-12 dan Kongres Jalan Asia Pasifik, Persekutuan Jalan Sedunia ke-5 pada Selasa.

SHAH ALAM - Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memberi tumpuan khusus kepada industri jalan raya untuk memacu perkembangan teknologi kejuruteraan jalan di Malaysia.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, inisiatif itu selaras dengan kerangka Pelan Strategik Operasi KKR yang melibatkan pemain industri untuk bersama-sama berkongsi aspirasi ke arah kesejahteraan rakyat.

Iklan
Iklan

"Fokus utama diberikan kepada strategi ketiga dalam pelan tersebut iaitu memperkasakan kapasiti, kebolehan dan daya saing industri pembinaan.

"Oleh itu, Persidangan Jalan Se-Malaysia yang ke-12 membuktikan kerjasama kukuh antara industri dan sektor swasta dalam sektor jalan raya di Malaysia serta menunjukkan sinergi antara sektor awam dan industri adalah saling melengkapi.

Iklan

"Saya yakin, persidangan ini akan melahirkan banyak inovasi, penemuan baharu dan pemahaman mendalam terhadap bidang kejuruteraan jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau merasmikan majlis Pra-Pelancaran Persidangan Jalan Se-Malaysia ke-12 dan Kongres Jalan Asia Pasifik, Persekutuan Jalan Sedunia ke-5 yang telah memasuki edisi ke-12 sejak diperkenalkan pada 1994.

Iklan

Persidangan yang akan berlangsung dari 5 hingga 7 November 2024 dianjurkan Pertubuhan Kejuruteraan Jalan Malaysia (REAM) dengan kerjasama KKR, Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Ahmad Maslan (tengah) bergambar selepas majlis Pra-Pelancaran Persidangan Jalan Se-Malaysia ke-12 dan Kongres Jalan Asia Pasifik, Persekutuan Jalan Sedunia ke-5 pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Maslan memaklumkan, persidangan itu juga membuka ruang kepada pelbagai jalinan perniagaan antara pihak berkepentingan, seperti pembekal, kontraktor, perunding, penyelidik dan agensi pelaksana.

"Saya menyeru semua pihak terlibat dalam pembangunan infrastruktur jalan raya ini sama ada daripada pembuat dasar hingga kepada kontraktor dan penyedia perkhidmatan sentiasa bekerjasama untuk mengintegrasikan teknologi terkini, amalan terbaik dan pendekatan lestari dalam setiap fasa pembangunan infrastruktur jalan raya.

"Ini bertujuan bukan sahaja untuk meningkatkan kecekapan dan daya tahan infrastruktur, tetapi juga untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendoakan kejayaan semua peserta yang melibatkan diri dalam Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan Jalan yang dianjurkan Malaysian Road Conference and Exhibition (MRC).

Menurutnya, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan daripada industri kepada industri, menilai projek jalan yang mencapai tahap kecemerlangan dari segi rekabentuk, pembinaan dan ciri-ciri lain termasuk aspek kelestarian.

"Saya juga dimaklumkan, terdapat beberapa pertandingan lain yang dianjurkan seperti Anugerah Kertas Kerja Terbaik, Anugerah Inovasi Terbaik dan Pertandingan BIM dalam kalangan jurutera muda.

"Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya dan semoga beroleh kemenangan kepada semua peserta yang terlibat dalam pencalonan untuk memenangi pelbagai kategori anugerah ini.

"Sudah pasti kita semua tidak sabar untuk mengetahui siapakah pemenang-pemenang yang akan diumumkan semasa persidangan MRC nanti," katanya.