BEIRUT - Timbalan Setiausaha Agung Hizbullah, Naim Qassem menegaskan mereka bersiap siaga untuk terlibat pertempuran darat dengan musuh.
"Kami sedia maklum konflik ini akan berlarutan untuk tempoh agak lama. Kami yakin akan menang sama seperti konflik pada 2006,” katanya ketika merujuk kepada perang terakhir tercetus 18 tahun lalu.
Menerusi ucapannya pada Isnin, beliau turut mengutuk Amerika Syarikat (AS) yang terus menyokong kekejaman Israel.
"Rejim Zionis melakukan pembunuhan beramai-ramai di kesemua kawasan di Beirut dan perbuatan itu 'dilindungi' sekutunya malah Barat juga terus membisu,” ujarnya.
Meskipun berdepan ancaman peperangan baharu, Qassem memberi jaminan pejuang Hizbullah tidak akan sesekali berundur dan akan meneruskan perjuangan Sayyed Hassan Nasrallah yang memimpin gerakan itu sejak lebih 30 tahun lalu.
"Kami akan melaksanakan pelan alternatif. Pengganti Nasrallah bakal dilantik dalam masa terdekat,” menurutnya lagi.
Beberapa jam selepas itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dilaporkan melancarkan 'operasi darat terhad' di kawasan selatan Beirut yang turut melibatkan komando daripada divisyen elit ke-98 yang pernah berada di barisan hadapan utara Genting Gaza, dua minggu lalu.
Sumber keselamatan di Lubnan mengesahkan pasukan musuh disokong unit udara telah menyeberangi ke wilayah sempadan negara itu dan IDF sewenang-wenangnya mengeluarkan arahan berpindah secara paksa di lebih 20 kawasan.
Sehingga kini, AS gagal untuk menghalang kempen pencerobohan sekutu mereka malah Tel Aviv juga dengan angkuh menolak cadangan tempoh bertenang selama 21 hari yang dicadangkan Washington bersama Perancis pada minggu lalu. - AFP