Perak FC ajak penyokong penuhkan stadium lawan JDT Sabtu ini

Iklan
Perlawanan aksi Liga Super Perak FC bertemu JDT di Stadium Ipoh Sabtu ini. Foto FB Perak FC (Gambar kecil: Choo Seong)

PERAK FC menagih sokongan penyokong untuk memenuhi Stadium Perak di sini apabila melayan kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan ulangan Liga Super pada Sabtu ini.

Pengurus Besar Perak FC, Neow Choo Seong berkata, kehadiran penyokong amat penting dalam menyemarakkan semangat pemain dalam perlawanan terakhir di Ipoh bagi memberi ruang kepada naik taraf Stadium Perak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selepas ini kesemua baki perlawanan Perak FC sebagai tuan rumah akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Manjung.

"Kita merayu kepada semua penyokong Perak FC untuk hadir beramai-ramai dan memenuhi stadium, memeriahkan suasana dengan penuh semangat dan seterusnya menyokong pasukan.

Iklan

"Semangat pasukan ketika ini sangat tinggi dan pemain bersedia untuk memberikan persembahan terbaik mereka. Perlawanan akhir di Ipoh ini bukan sekadar permainan bola sepak tetapi meraikan perjalanan yang ditempuhi bersama penyokong di laman sendiri sepanjang musim," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Choo Seong berkata, pihaknya turut meminta peminat untuk menunjukkan rasa hormat serta menjaga tingkah laku sepanjang perlawanan tersebut berlangsung.

Iklan

Menurutnya, penyokong juga dinasihatkan untuk menumpukan sepenuhnya sokongan terhadap permainan di atas padang dan mengelak sebarang konflik atau provokasi di luar padang.

"Semua penyokong perlu memastikan bahawa tumpuan pada hari perlawanan kekal hanya kepada perlawanan bola sepak demi kebanggaan dan maruah pasukan Perak FC," katanya.

Sementara itu, beliau mengakui Perak FC berdepan dengan sebuah pasukan hebat seperti JDT merupakan cabaran buat pasukan namun yakin dengan kemampuan barisan pemain untuk bersaing.

Jelasnya, barisan pemain Perak FC akan memberikan yang terbaik dan mereka memerlukan sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat pada malam itu nanti.

"Ayuh kita pastikan perlawanan terakhir di Stadium Perak ini salah satu perlawanan yang akan diingati musim ini dan kita juga teruja untuk bermain di laman baharu di Manjung nanti.

"Terima kasih buat semua penyokong atas kesetiaan dan dedikasi buat Perak FC," katanya.

Kedua-dua pasukan sebelum ini bertemu pada 17 Ogos lalu dengan hanya sempat bermain tidak sampai empat minit sebelum perlawanan ditangguhkan di Stadium Perak.

Keputusan itu dibuat oleh pengadil perlawanan atas faktor hujan lebat dan padang yang digenangi air memaksa perlawanan ditukar ke 5 Oktober ini.