'Tergamak mereka bertindak kejam terhadap suami saya' - Isteri Sabari

Iklan
Gambar kenangan Subhiah bersama Sabari yang dirakam sebelum ini.

BALING - Tindakan suspek yang membunuh Sabari Baharom, 62, dan mencampakkan ke dalam sungai semata-mata disebabkan duit, disifatkan sebagai hati kering.

Isteri mangsa, Subhiah Roslina Shahibi, 57, berkata, dia tidak menyangka tindakan suspek yang kejam tergamak memperlakukan sebegitu rupa terhadap suaminya.

Iklan
Iklan

"Tergamak mereka bertindak kejam terhadap suami saya, hati kering betul kerana duit mereka hilang pertimbangan sampai tahap membunuh,"katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurut Subhiah, perkembangan mengenai kejadian diikuti dengan penuh debaran dari Selayang memandangkan dia kini bekerja di Kuala Lumpur manakala suaminya duduk berseorangan di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang dekat sini.

Iklan

"Namun, saya bersyukur apabila dimaklumkan perkembangan kes daripada pihak polis serta tangkapan ke atas dua suspek.

"Sekurang-kurangnya adalah tanah kubur untuk kebumikan arwah nanti. Saya akan bersama adik saya ke sungai di mana tempat suami dicampak di Kedah,"katanya.

Iklan

Sehingga kini, jasad Sabari masih belum ditemukan selepas dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Kampung Empa, Jitra biarpun operasi pencarian memasuki hari kedua.

"Perasaan saya agak lega sedikit kerana selama 26 hari menunggu dan kini telah mendapat jawapannya, kini kami menunggu satu lagi berita iaitu jasad arwah pula.

"Setiap hari kami sekeluarga memikirkan misteri kehilangan suami dan harap-harap dapatlah apa sahaja yang berkaitan dengan arwah sama ada pakaian atau apa sahaja barangan,"katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kenyataan polis bahawa Sabari yang merupakan bekas pegawai kewangan sebuah agensi kerajaan yang dilaporkan hilang sejak 3 September lalu, dibunuh dan dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Kampung Empa, Jitra.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, pengakuan suspek juga memaklumkan bahawa tangan mangsa telah diikat, manakala mulut ditutup dengan menggunakan pita pelekat sebelum dicampak ke sungai.

Terdahulu, Sabari dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja.

Kehilangan warga emas itu menjadi misteri apabila anaknya menyedari terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari kepada akaun individu tidak dikenali.

Beberapa hari selepas kehilangan bapa kepada tiga anak itu, sebuah kereta dipercayai milik mangsa ditemui hangus terbakar dalam gaung di Pulau Belantek, Sik, Kedah.

Pada Selasa, operasi pencarian jasad mangsa diteruskan pada hari kedua bermula jam 9 pagi dengan radius diperluaskan kepada 12.8 kilometer dari Jambatan Kampung Empa yang dipercayai lokasi mangsa dibuang.

Satu lagi sektor pencarian adalah melibatkan kawasan Loji Rawatan Air Pelubang ke Tandop Chegar melibatkan radius kira-kira tujuh kilometer.