Piala Raja Muda Selangor cungkil lebih ramai pemain Selangor

Iklan
Pasukan Seksyen 20 menjulang Piala Sumbangsih selepas menang bergaya 6-1 di Stadium Mini KPM SMK USJ 23, Subang Jaya pada Selasa. (Gambar kecil: Emran)

LEBIH banyak bakat muda dapat dicungkil menerusi Piala Raja Muda Selangor 2024 selepas saingan kali ini dikembangkan ke seluruh Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Induk kejohanan, Datuk Emran Abdul Kadir berkata, kejohanan tersebut memasuki edisi ke-35 yang sebelum ini hanya disertai pasukan daripada dua daerah pendidikan iaitu Petaling Utama dan Petaling Perdana.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejohanan kali ini mendapat restu daripada Raja Muda Selangor untuk membuka penyertaan kepada pelajar sekolah rendah seluruh daerah yang konsepnya seperti Piala Mokhtar Dahari.

"Daripada 32 pasukan akan dipecahkan kepada lapan kumpulan akan berentap dari peringkat awal hingga aksi final.

Iklan

"Sudah tentu dengan memperluaskan penyertaan di semua daerah ini akan membuka lebih banyak penyertaan pemain berpotensi yang kini dianggarkan telah mencecah hampir 500 pemain," katanya pada Selasa.

Beliau ditemui pada aksi pembuka tirai Piala Sumbangsih membabitkan juara edisi lalu, Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20, Shah Alam menentang SK Seri Selangor, Subang Jaya di Stadium Mini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 23, Subang Jaya.

Iklan

Pasukan sorak memeriahkan Piala Sumbangsih antara SK Seksyen 20 menentang SK Seri Selangor pada Selasa.

Turut hadir, Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; wakil Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad, Suzila Khairuddin dan Timbalan Pengerusi kejohanan, Hashim Anang.

Beliau berkata, kejohanan itu dapat membuka jalan kepada pemain bawah 12 tahun meneruskan penyertaan ke peringkat 15 tahun.

"Jika dia merupakan pemain yang bagus bakatnya akan terus digilap dari peringkat bawah hingga menyertai kelab.

"Hasrat kita mahu mengeluarkan seramai mungkin pemain bola sepak dari Selangor bukan hanya menyertai pasukan negeri tetapi bakat dikembangkan ke seluruh negeri-negeri lain," katanya.

Menerusi Piala Sumbangsih, SK Seksyen 20 menewaskan SK Seri Selangor dengan keputusan 6-1.

Seawal minit ketiga, SK Seksyen 20 menguasai perlawanan dengan jaringan pertama disumbangkan oleh Muhamad Irfan Nazarudin disusuli Arif Nufail Ardika Budi (minit ke-28), Muhammad Umar Rizqi Mohd Hisham (minit ke-31), Ahmad Faiq Furqan Ahmad Faisal (minit ke-35) dan Mohd Thaqif Waiz Mohd Tajul Arifin (minit ke-50).

Bagaimanapun jaringan saguhati SK Seri Selangor disempurnakan Ahmad Darwish Ammar pada minit ke-46.

Kejuaraan Piala Raja Muda Selangor mendapat penajaan KPS dengan Sinar Harian sebagai media rasmi.