Virus Marburg pula mengganas

Iklan
Sebanyak 26 kes telah disahkan di negara Afrika Timur itu. Foto Agensi

KIGALI - Rwanda mengesahkan lapan kematian akibat virus Marburg yang mudah menular sama seperti Ebola selepas wabak itu diisytiharkan pada Jumaat lalu, di tengah-tengah ancaman Mpox yang masih dipantau di kebanyakan negara.

Menteri Kesihatan, Sabin Nsanzimana memberitahu sebanyak 26 kes juga telah disahkan dengan kebanyakan kes melibatkan kakitangan kesihatan di enam daerah.

Iklan
Iklan

Susulan ancaman yang semakin meningkat, pihak berkuasa kini mempergiatkan usaha untuk menjejaki kontak rapat dan melakukan ujian saringan.

"Seramai 300 individu yang ada kaitan dengan kes disahkan telah dikenal pasti dan sebahagian daripadanya sudah ditempatkan di pusat pengasingan,” ujar jurucakap pihak berkuasa kesihatan.

Iklan

Sebagai langkah berjaga-jaga, sekatan berkaitan penjarakan sosial telah dilaksanakan dengan mengehadkan jumlah individu yang boleh menghadiri upacara pengebumian korban Marburg iaitu tidak lebih daripada 50 orang.

"Aktiviti harian masih boleh dilakukan seperti biasa di negara Afrika Timur itu,” menurut garis panduan dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada akhir minggu lalu.

Iklan

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyakit Berjangkit di Boston University, Dr Nahid Bhadelia berkata, usaha untuk mengekang virus tersebut mungkin berdepan cabaran kerana sebahagian besar kes dilaporkan di Kagali yang berpopulasi padat.

"Infrastruktur yang terdapat di Rwanda adalah jauh lebih baik berbanding negara lain di rantau berkenaan dan ia pastinya dapat menangani situasi itu,” katanya. - Agensi

Info

>Virus Marburg berasal daripada spesies kelawar buah yang merebak melalui kontak rapat dengan individu dijangkiti dan permukaan tercemar.

>Antara gejala serangan virus itu termasuk demam, sakit otot, gangguan gastrousus yang teruk, yang berpotensi membawa kepada kehilangan darah yang melampau dan kematian.

>Punca penularan masih belum diketahui, namun pihak berkuasa kesihatan berusaha mengekang penyebaran Marburg.

>Kadar kematiannya adalah 88 peratus.

>Ia adalah pertama kali Marburg disahkan di Rwanda.

>Negara jiran Tanzania pernah melaporkan penularan wabak itu pada 2023 manakala tiga kematian direkodkan di Uganda pada 2017.