Semua rakyat Malaysia selamat dipindahkan susulan banjir, tanah runtuh di Nepal

Iklan
Penduduk memanjat bumbung ketika kawasan kejiranan mereka ditenggelami air banjir selepas Sungai Bagmati melimpah berikutan hujan monsun lebat di Kathmandu pada 28 September 2024. Foto AFP

PUTRAJAYA - Kementerian Luar Negeri Malaysia melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu mengesahkan bahawa semua pelancong Malaysia yang terjejas akibat tanah runtuh dan banjir di Nepal selamat dipindahkan ke Kathmandu.

Kementerian itu menyatakan bahawa pihaknya memantau rapat kejadian hujan lebat luar biasa yang melanda beberapa daerah di Nepal termasuk Kathmandu, sejak 26 September lalu.

Iklan
Iklan

"Memandangkan semua akses ke luar Lembah Kathmandu musnah berikutan tanah runtuh dan banjir, rakyat Malaysia yang berhasrat membuat perjalanan ke Kathmandu dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan sehingga keadaan pulih," menurut kenyataan itu.

Seorang lelaki membawa guni tepung mengharungi air banjir selepas Sungai Bagmati melimpah berikutan hujan monsun lebat di Kathmandu. Foto AFP

Kementerian itu juga menasihatkan rakyat Malaysia di Nepal sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan serta arahan daripada pihak berkuasa tempatan.

Iklan

Sementara itu, rakyat Malaysia yang belum mendaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu digesa berbuat demikian di https://ekonsular.kln.gov.my dengan kadar segera.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu di alamat Bakhundole-3, Lalitpur, Kathmandu, Nepal, Telefon: +977-15445689 | +977-9801008000 (untuk kecemasan) dan e-mel: mwkathmandu@kln.gov.my.

Penduduk berjalan melalui kawasan terjejas berikutan banjir monsun di perkampungan Roshi di daerah Kavre, Nepal. Foto AFP

Iklan

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa Jabatan Hidrologi dan Meteorologi Nepal meramalkan hujan akan berterusan sehingga 4 Oktober.

Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Nasional Nepal mengumumkan bahawa hujan kali ini adalah yang tertinggi pernah direkodkan di Nepal.

Bencana itu meragut sekurang-kurangnya 200 nyawa manakala 26 lagi masih hilang. - Bernama