JDT benam cabaran Shanghai Shenhua

Iklan
Pemain JDT, Arif Aiman diasak pertahanan Shanghai Shenhua FC. Foto FB Johor Southern Tigers

SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT), meraih tiga mata berharga selepas menewaskan Shanghai Shenhua FC, 3-0 pada aksi Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.

Bermula garang sebaik wisel permulaan, JDT hanya memerlukan 19 saat untuk menembusi benteng pelawat menerusi larian pantas Arif Aiman Hanapi.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, lorongannya gagal disempurnakan penyerang, Jorge Obregon.

Tersentak dengan asakan tersebut, Shanghai Shenhua dilihat mula bangkit mengatur serangan ke gawang tuan rumah.

Iklan

Namun, asakan-asakan berkenaan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan skuad Harimau Selatan.

JDT memiliki peluang keemasan untuk membuka jaringan pada minit ke-7, namun rembatan leret Obregon hanya sedikit tersasar ke sebelah kanan pintu gol lawan.

Iklan

Minit ke-11 menyaksikan Stadium Sultan Ibrahim bergema apabila Arif Aiman meledak gol pembukaan setelah berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum merembat leret menewaskan penjaga gol pelawat, Bao Yaxiong.

Obregon menebus kegagalannya menjaringkan gol pada minit ke-7, apabila menanduk masuk gol kedua pada minit ke-25.

Perlawanan selepas itu kelihatan banyak berlegar di tengah padang sambil menyaksikan percubaan-percubaan daripada kedua-dua pasukan gagal menepati sasaran hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua menyaksikan JDT semakin menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan.

Namun kesebelasan skuad Harimau Selatan itu perlu menunggu hingga minit ke-79 bagi menjaringkan gol ketiga hasil sepakan percuma cantik, Juan Muniz.

Penghujung perlawanan menyaksikan tiada tambahan jaringan daripada kedua-dua pasukan dan kedudukan 3-0 kekal hingga ke wisel penamat.