Sabari sangat baik, 'ahli surau' - Isteri

Iklan
Subhiah Roslina. Foto Bernama

JITRA - Pesara pegawai kewangan Felcra yang hilang sejak 4 September lepas dan disyaki dibunuh, Sabari Baharom, 62, disifatkan sebagai seorang individu yang sangat baik, malah merupakan 'ahli surau'.

Isterinya, Subhiah Ruslina Shahidi, 57, berkata, suaminya seorang yang tidak pernah berkasar, malah sentiasa berlemah lembut, justeru kejadian yang menimpa mangsa disifatkan sebagai insiden yang sangat kejam.

Iklan
Iklan

"Bagi saya kejam, orang yang masih bernyawa dicampak ke dalam sungai ... saya harap pihak berkuasa ambil tindakan sewajarnya, kenakan hukuman setimpal dengan perbuatan mereka yang sangat kejam," katanya yang baru tiba dari Kuala Lumpur.

Subhiah Ruslina ditemui pemberita selepas mendengar penerangan pegawai polis di lokasi pencarian Sabari di Sungai Padang Terap di Kampung Lubuk Batu dekat sini petang tadi.

Iklan

Semalam, polis mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh dilaporkan turut mengesahkan penahanan dua suspek lelaki berumur 26 dan 38 tahun, Jumaat lepas.

Pencarian Sabari yang dicampak ke dalam Sungai Padang Terap diteruskan pada Selasa. Foto Bernama

Iklan

Menurut Subhiah Ruslina, sebagai kakitangan Felcra, suaminya telah bertugas di beberapa negeri, namun tidak pernah mana-mana pihak memburukkannya, sebaliknya sentiasa memuji kebaikan Sabari.

"Suami saya sentiasa bercakap yang baik-baik saja. Dia ada juga berpesan jangan pergi ke kawasan tanah jerlus sebab saya duduk di Kuala Lumpur, katanya kalau awak hilang susahlah, tapi dia pula yang 'hilang'.

"Bagaimanapun, saya menerima ketentuan ini. Kami dah usahakan (solat hajat), jawapan dah dapat, sekarang kita tunggu hasil penyudah. Apa yang kita tunggu 26 hari dah dapat jawapan, cuma saya harap kalau meninggal dunia biarlah ada kuburnya," katanya yang mengakui langsung tidak mengenali suspek.

Subhiah Ruslina berkata, mereka mendirikan rumah tangga pada 2018 dan berhubung jarak jauh kerana dia bekerja di Felcra di Kuala Lumpur dan kali terakhir berhubung dengan suaminya melalui telefon pada 2 September lepas.

Operasi pencarian Sabari di Sungai Padang Terap ditangguhkan pada 6 petang tadi dan akan disambung semula esok. - Bernama