KLN laksana proses evakuasi 15 rakyat Malaysia di Lubnan

Iklan
Asap berkepul menjulang ke langit selepas serangan udara Israel di perkampungan Abbasiyeh, Lubnan pada Selasa. Foto AFP

SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Beirut sedang melaksanakan proses evakuasi atau pemindahan 15 rakyat Malaysia termasuk tiga warganegara asing yang merupakan pasangan rakyat Malaysia di Lubnan.

Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil berikutan situasi yang semakin meruncing di negara tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sembilan rakyat Malaysia telah meninggalkan Lubnan secara sukarela, manakala empat memilih untuk terus kekal di negara itu, sementara empat pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beirut akan meneruskan operasi di sana.

"Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang berterusan melancarkan serangan ketenteraan melalui serangan udara dan darat terhadap Lubnan.

Iklan

"Kekejaman rejim Zionis Israel ini secara jelas telah melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa yang mengancam keselamatan, kestabilan serta kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan," katanya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Wisma Putra memaklumkan, Malaysia bersolidariti bersama Lubnan dan masyarakat antarabangsa untuk mendesak rejim Zionis Israel melaksanakan gencatan senjata segera.

Iklan

Ujarnya, ia bagi mengelakkan bencana kemanusiaan lebih dahsyat di Lubnan dan penting bagi semua pihak untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan yang sedia tegang di rantau tersebut.

Sebelum ini media melaporkan, Angkatan Pertahanan Israel mengeluarkan kenyataan bahawa Israel secara rasmi telah memulakan operasi darat di selatan Lubnan, awal pagi Selasa.

Rejim Zionis itu berkata, serangan dilakukan adalah terhad, setempat dan disasarkan terhadap kumpulan Hizbullah.

Serangan intensif Israel terhadap Hizbullah di Lubnan dan Houthi di Yemen menimbulkan kebimbangan bahawa pertempuran di Asia Barat menjadi di luar kawalan sehingga mengheret Iran dan Amerika Syarikat (AS), iaitu sekutu utama Israel.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 95 orang terbunuh dalam serangan Israel di Lubnan sejak 24 jam lalu, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Dalam masa sama, 172 mangsa lain mengalami kecederaan, kata kementerian itu.

Serangan udara dilancarkan Israel di bandar Beirut pada awal pagi Isnin, kali pertama serangan berlaku dalam sempadan bandar ibu negara Lubnan sejak perang Israel-Hamas tercetus pada 7 Oktober tahun lalu.

Sehingga kini, serangan udara Israel ke atas Beirut tertumpu di bahagian selatan bandar itu iaitu kawasan yang padat dengan penduduk dan kebanyakannya terdiri daripada golongan Syiah yang juga kubu kuat Hizbullah.