Masjid seliaan Jakim, Jawi disaran laksana solat hajat untuk mangsa serangan Zionis

Iklan
Mohd Na'im

SHAH ALAM - Masjid-masjid utama di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disaran melaksanakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mangsa tragedi serangan rejim Israel ke atas Gaza, Lubnan, Syria dan Yemen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, saranan tersebut terutama kepada Masjid Negara, Masjid Putra, Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Iklan
Iklan

"Saranan ini juga kepada masjid, surau Jumaat dan surau seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

"Semoga usaha ini dapat menunjukkan keprihatinan dan solidariti kepada keamanan dunia," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan, sekurang-kurangnya 33 terbunuh manakala 195 lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas Lubnan pada Sabtu.

Agensi Anadolu memetik Kementerian Kesihatan negara itu memaklumkan, pesawat perang Israel meneruskan serangan udara di pinggir selatan Beirut, menyasarkan kawasan Chyah, Borj al-Barajneh dan sebahagian Lylaki, serta beberapa bandar di selatan Lubnan.

Iklan

Dalam pada itu Mohd Na'im menegaskan, pihaknya turut mengecam serangan yang dilakukan oleh Israel dan ia perlu dihentikan segera.

"Tragedi ini telah menaikkan kemarahan seluruh dunia," ujarnya.