Polis gagalkan cubaan larikan kereta curi

Iklan
Kenderaan yang dinaiki suspek ini dilaporkan hilang di Alor Setar. Foto PDRM

SUNGAI PETANI - Percubaan dua lelaki melarikan sebuah kereta curi yang dilaporkan hilang di Alor Setar dengan memandu sejauh lebih 60 kilometer sehingga ke bandar ini gagal, setelah ditahan polis kira-kira empat jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, suspek ditahan setelah dilihat mencurigakan ketika rondaan cegah jenayah dilakukan pasukan peronda polis berdekatan sebuah stesen minyak di Sungai Layar di sini kira-kira 1.30 petang Selasa.

Iklan
Iklan

"Pada mulanya, arahan memberhentikan kenderaan tidak diendahkan sebaliknya pemandu memecut laju.

"Polis telah membuka beacon light dan siren serta memberi amaran sebanyak tiga kali minta berhenti tetapi pemandu kenderaan tersebut terus memecut melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Wan Azharudin berkata, melihat keadaan mencurigakan, anggota meminta bantuan lain-lain penugasan, dalam masa sama terus mengejar kereta tersebut.

Kereta dipandu suspek terbabas lalu melanggar tiang elektrik. Foto PDRM

Bagaimanapun katanya, sebelum tiba di hadapan Sekolah Kebangsaan Syed Jan Al-Jaffri, suspek gagal mengawal kenderaan lalu terbabas sehingga melanggar tiang elektrik.

Iklan

Jelasnya, suspek telah keluar dan cuba melarikan diri, namun salah seorang daripadanya berjaya ditahan.

Jelasnya, pemeriksaan pada tubuh badan suspek tidak menemui apa-apa kesalahan namun, pemeriksaan lanjut pada kenderaan mendapati bersangkut laporan polis dibuat di Alor Setar pada jam 9.02 pagi Selasa.

"Suspek yang ditahan berasal dari Alor Setar berusia 44 tahun dikesan mempunyai tiga rekod kes dadah dan lima kes jenayah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, kenderaan terbabit dirampas serta dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

"Kita masih giat memburu seorang lagi suspek yang melarikan diri," katanya.