Dua jam tular, penuntut berjaya masuk UMK terima sumbangan orang ramai

Iklan
Chinnakaruppan hadir pada sesi pendaftaran anaknya di UMK Kampus Kota pada Selasa. Foto UMK

KOTA BHARU - Luahan seorang pesara kerajaan, M Chinnakaruppan, 67, melalui aplikasi WhatsApp mengenai kekurangan wang pendaftaran bagi membolehkan anak perempuannya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya meraih perhatian.

Chinnakaruppan berkata, anak perempuannya Kalaimagal, 20, berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) di universiti itu, namun tidak mempunyai wang mencukupi sebanyak RM3,000 untuk pendaftaran.

Chinnakaruppan bersama anak perempuannya Kalaimagal pada sesi pendaftaran di UMK Kampus Kota pada Selasa. Foto UMK

Iklan
Iklan

"Tangkap layar hantaran saya dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp penduduk kampung yang dimuat naik pada 21 September lepas menjadi tular sehingga meraih simpati orang ramai.

"Ada yang melancarkan kutipan sehingga berjaya mengumpulkan RM3,000 dalam tempoh dua jam sahaja hasil sumbangan masyarakat," katanya.

Iklan

Terdahulu, Chinnakaruppan yang berasal dari Pengkalan Hulu, Perak hadir pada sesi pendaftaran anaknya di UMK Kampus Kota di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Chinnakaruppan yang berpendapatan kira-kira RM700 sebulan berkata, sumbangan penduduk kampung dan orang ramai itu meringankan urusan perbelanjaan pada hari pendaftaran masuk di UMK.

Kalaimagal ketika mendaftar di UMK Kampus Kota pada Selasa. Foto UMK

Iklan

"Selain Kalaimagal, saya juga perlu menyara tiga lagi anak yang masih belajar, sedangkan saya kini menghidap sakit saraf dan asma,” katanya.

Sementara itu, pihak Bahagian Kebajikan Pelajar dan Tatatertib (BKTP) Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK bertindak segera menerusi Program UMK Cakna dengan menyampaikan wang tunai RM1,000, sumbangan komputer riba serta bakul keperluan asas.

Kesusahan ditanggung keluarga Kalaimagal turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang turut tampil membantunya menyambung pengajian di UMK. - Bernama