Ali Khamenei bakal jadi sasaran seterusnya?

Iklan
Ayatollah Ali Khamenei yang merupakan pengkritik lantang Israel dikatakan bakal menerima nasib sama seperti Nasrallah dan Haniyeh.

TEHERAN - Selepas insiden pembunuhan dua pemimpin gerakan paling berpengaruh di Asia Barat dalam tempoh 58 hari, kini timbul persoalan siapa bakal jadi sasaran seterusnya?

Dunia Islam kembali digemparkan dengan kehilangan seorang lagi tokoh pejuang, Sayyed Hassan Nasrallah dalam kejadian serangan udara dilancarkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di Beirut pada Jumaat lalu, di tengah-tengah konflik semakin meruncing antara Hizbullah-Tel Aviv.

Iklan
Iklan

Ia berlaku hampir dua bulan selepas pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dibunuh rejim Zionis di Teheran pada 31 Julai lalu.

Nasrallah (kiri) gugur syahid hampir dua bulan selepas Haniyeh dibunuh di Teheran.

Iklan

Sejak akhir minggu lalu, warganet mula berteka-teki, adakah Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang merupakan pengkritik lantang Israel bakal menerima nasib sama seperti Nasrallah dan Haniyeh memandangkan Presiden Masoud Pezeshkian menggunakan pendekatan ‘lebih lembut’ serta menolak campur tangan dalam krisis berbahaya tersebut.

Susulan ancaman yang semakin meningkat, Khamenei dikatakan telah dipindahkan di sebuah lokasi rahsia dengan kawalan keselamatan yang ketat sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang cubaan penyusupan musuh.

Iklan

Agensi risikan Tel Aviv semakin galak menjejaki lokasi persembunyian pemimpin gerakan yang menentang mereka dan hampir setiap hari IDF membunuh tokoh yang berjuang di bawah Paksi Penentangan anti-Israel sejak beberapa dekad lalu.

Sebelum ini, Israel dengan angkuh pernah menyatakan kononnya tiada pemimpin gerakan tersebut atau negara yang menyokong perjuangan menentang Tel Aviv akan terlepas daripada cengkaman mereka.

Ali Khamenei, 85, berkemungkinan besar antara yang tersenarai sebagai sasaran memandangkan beliau merupakan penyokong kuat gerakan Hizbullah dan Hamas.

Pada Sabtu lalu, Ali Khamenei menerusi platform X menegaskan ‘kesemua gerakan penentangan di Asia Barat berdiri bersama-sama Hizbullah dan mereka akan membentuk masa depan rantau tersebut di bawah pimpinan Hizbullah’.

Kenyataan provokasi sedemikian pastinya mengundang kemarahan rejim Zionis yang semakin gila berperang setelah konflik itu semakin merebak dari Gaza ke Lubnan, Yemen dan Syria.

TUJUH KOMANDER KANAN HIZBULLAH TERKORBAN

Kempen pengeboman bertalu-talu IDF ke atas pelbagai lokasi telah mengorbankan tujuh komander kanan Hizbullah termasuk Nasrallah sejak 10 hari lalu.

Timbalan Ketua Majlis Pusat Hizbullah, Nabil Kaouk menjadi korban terbaharu rejim Zionis pada Sabtu ketika ketegangan semakin meningkat di rantau berkenaan.

Sehari sebelum itu, Hizbullah mengesahkan kematian Ali Karaki dalam serangan udara yang menyasarkan markas bawah tanah di mana Nasrallah bersama tokoh kanan lain dikatakan sedang bermesyuarat.

Serangan udara ganas itu turut mengorbankan sekurang-kurangnya 20 pejuang Hizbullah yang lain termasuk dua pembantu rapat Nasrallah.

Dalam perkembangan berkaitan, gerakan Hamas memaklumkan, komander kanan mereka, Fatah Sharif terkorban bersama keluarganya dalam kempen pengeboman dilancarkan musuh di kem pelarian al-Buss di bandar pelabuhan Tyre di Lubnan.

Israel dengan angkuh pernah menyatakan kononnya tiada pemimpin gerakan tersebut atau negara yang menyokong perjuangan menentang Tel Aviv akan terlepas daripada cengkaman mereka.

Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengesahkan Sharif adalah salah seorang kakitangan mereka dan diberi cuti tanpa gaji kerana masih disiasat berhubung kegiatan politik beliau.

Sebelum ini, Israel menuduh kononnya UNRWA mempunyai kaitan dengan Hamas, namun tuduhan itu disangkal agensi berkenaan yang tetap komited dengan pendirian berkecuali.

IDF turut mengumumkan dua pemimpin Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP), Mohammad Abdel-Aal dan Imad Oden terbunuh dalam serangan dilancarkan ke atas markas mereka di tengah Beirut.

Sejak lebih seminggu lalu, Hizbullah turut memperhebatkan serangan roket ke atas Tel Aviv sebagai tindak balas terhadap kempen pengeboman ganas yang meragut lebih 100 nyawa termasuk orang awam di Beirut. - Agensi