PENGENDALI Aston Villa, Unai Emery menuntut pemain-pemain kelab Liga Perdana Inggeris itu mengekalkan permulaan positif dalam saingan Liga Juara-Juara apabila menyambut kehadiran gergasi Bundesliga Jerman, Bayern Munich pada Khamis.
Malah pengendali kelahiran Sepanyol itu menuntut rentak tiga mata ketika menjinakkan kelab Switzerland, Young Boys, 3-0 di Stadium Wankdorf pada 18 September lalu dikekalkan apabila berdepan barisan anak buah Vincent Kompany di Villa Park.
Bekas pengendali Arsenal itu juga tidak mahu faktor penjadualan perlawanan yang padat menjadi alasan untuk pemain-pemain Villa tidak menampilkan persembahan terbaik menentang Bayern Munich,
"Apa yang kita mahu? Kami mahu bermain di Eropah. Kami mahu bermain perlawanan pada Isnin dan Khamis. Kami mahu mencuba untuk mencapai tahap sama seperti dinikmati pasukan lain seperti Manchester City, Arsenal, Liverpool, Manchester United, Newcastle, Tottenham. Kami mahukannya merasainya.
"Kalau kita tak nak? Okey, kami tidak bermain di Eropah dan berehat sepanjang minggu. Hebat untuk semua orang, tetapi ia adalah cabaran yang kita ada - pemain, saya sendiri, penyokong, malah wartawan. Ya, kami akan letih, tetapi ini adalah tahap yang perlu diharungi semua apabila berada pada tahap ini,” kata Emery.
Rentak tiga mata Villa yang kini berada di kedudukan kelima liga sebelum ini dihentikan Ipswich Town apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Stadium Portman Road pada 22 September lalu.
Keputusan seri itu juga menimbulkan kebimbangan penyokong-penyokong The Villans terhadap persediaan mental dan fizikal anak buah Emery apabila mula mengharungi jadual domestik dan Eropah yang padat musim ini.
LIGA JUARA-JUARA
KHAMIS (3 OKTOBER)
Shaktar Donetsk lwn Atalanta, 12.45 tengah malam
Girona lwn Feyenoord Rotterdam, 12.45 tengah malam
Benfica lwn Atlético de Madrid, 3 pagi
Liverpool lwn Bologna, 3 pagi
RB Leipzig lwn Juventus, 3 pagi
Lille OSC lwn Real Madrid, 3 pagi
Sturm Graz lwn Club Brugge, 3 pagi
Aston Villa lwn Bayern Munich, 3 pagi
Dinamo Zagreb lwn AS Monaco, 3 pagi