[VIDEO] Mahakaya tak peduli subsidi pendidikan

Iklan

SHAH ALAM - Pembangkang membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi bayangan kerajaan akan menghentikan pemberian subsidi dalam sektor pendidikan kepada golongan mahakaya kerana mendakwa kelompok elit itu sebenarnya tidak peduli pun terhadap subsidi itu.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ia kerana golongan mahakaya menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa yang yurannya puluhan ribu ringgit.

Iklan
Iklan
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

Katanya, golongan mahakaya tersebut tidak menghantar anak-anak mereka pergi sekolah berasrama penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

"Bagi saya (kenyataan itu hanya) retorik murahan Perdana Menteri untuk menyerang dan melaga-lagakan kelas masyarakat di bawah dengan contoh yang tidak munasabah.

Iklan

"Golongan mahakaya sebenarnya tidak mendapat manfaat dan tidak peduli pun mengenai SBP atau MRSM yang mendapat subsidi kerajaan ini. Jadi saya rasa tak betullah apa yang Perdana Menteri cakap itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Anwar pada Isnin dilapor memberi bayangan kerajaan akan menghentikan pemberian subsidi untuk membiayai pendidikan anak golongan mahakaya.

Iklan

Menyifatkan tindakan membiarkan ketirisan subsidi besar seperti itu berterusan sebagai tindakan tidak adil, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan menegaskan, dana berkenaan sepatutnya boleh diagih kepada golongan miskin.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, Perdana Menteri mungkin tidak faham realiti sebenar golongan elit atau sengaja buat-buat tidak faham.

"Jadi kalau perkara itu menjadi persoalan atau masalah, saya rasa cara Perdana Menteri menjelaskan tidak betul (kerana hakikat sebenarnya golongan mahakaya tidak terima manfaat subsidi pendidikan),” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, golongan mahakaya menikmati subsidi yang banyak antaranya menerusi bebas cukai kenderaan elektrik (EV) selain kadar cukai sifar peratus untuk ‘pejabat keluarga’ atau firma pengurusan individu kaya di Forest City.