Resah menanti Iran bertindak balas

Iklan
Rakyat Iran memberi penghormatan akhir ketika berhimpun di hadapan potret gergasi Nasrallah di Dataran Palestin pada Isnin.

INSIDEN pembunuhan Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah oleh Israel pada Jumaat boleh diramal semua pihak selepas pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh pada Julai lalu.

Ini berikutan rejim Zionis pernah memberi amaran bahawa mereka akan menghapuskan mana-mana pemimpin yang menentang mereka.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, pembunuhan Hassan yang menerajui Hizbullah selama lebih tiga dekad dikatakan memberi kesan bukan sahaja di Lubnan, tetapi seluruh rantau Asia Barat.

Mana tidaknya, kematian Hassan adalah satu tamparan paling hebat kepada kumpulan yang disokong oleh Iran itu selepas berbulan-bulan melancarkan serangan rentas sempadan sebagai solidariti kepada kumpulan Hamas Palestin.

Iklan

Paling merisaukan semua pihak adalah terjadinya perang berskala besar selepas kematian Setiausaha Agung Hizbullah yang selama ini berusaha memerangi Israel yang menceroboh Lubnan.

Sebenarnya ramai termasuk penulis sendiri menjangkakan Iran akan menuntut bela terhadap Israel selepas kematian dua tokoh utama kumpulan Islam Hizbullah dan Hamas tetapi sebenarnya ‘tidak mungkin berlaku’.

Iklan

Profesor geopolitik di kampus Asia Pasifik ESSEC Business School, Dr Nestorovic berkata, Teheran mempunyai rekod tindak balas ‘lembab’ dalam beberapa insiden sebelumnya.

Lihatlah reaksi Iran menyusuli pembunuhan Ismail Haniyeh di Teheran pada Julai lalu, serta letupan alat kelui dan walkie-talkie baru-baru ini, mereka hanya mengeluarkan kecaman dan kata-kata lantang tetapi tidak mengambil sebarang tindakan konkrit.

"Saya tidak begitu pasti Iran akan bertindak balas dengan ketara, kerana akan ada tindak balas daripada Israel dan sekutu-sekutunya,” kat Nestorovic.

Memetik kata felo kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, James Dorsey, Iran kini dalam keadaan serba salah sama ada menyerang balas atau penulis sendiri berpendapat ia sekadar ‘anjing menyalak bukit, bukit tidak runtuh’.

Sebenarnya, Iran dikatakan mahu membina semula hubungan antarabangsa untuk mendapatkan pelepasan daripada sekatan-sekatan yang dikenakan ke atasnya tetapi pada masa sama tidak mahu dilihat lemah terutamanya oleh sekutunya jika mereka tidak bertindak balas.

Apakah langkah Israel seterusnya? Mengikut pandangan semasa, Israel mungkin akan meneruskan kempen ketenteraan yang disokong Amerika Syarikat (AS) di Lubnan dan beberapa negara di Asia Barat.

Pada masa sama, rejim Zionis mungkin mencari jalan untuk menyasarkan komander Hizbullah yang lain atau menumpukan perhatiannya kepada usaha memusnahkan senjata kumpulan itu.

Sebelum ini, Israel menegaskan bahawa serangan udaranya di Lubnan bertujuan menghentikan serangan roket Hizbullah yang menyebabkan kira-kira 60,000 penduduknya berpindah dari utara Israel.

Jadi, rejim Zionis mencipta propaganda baling batu sembunyi tangan dengan melancarkan serangan balas dengan alasan memusnahkan kubu ‘militan’ di Lubnan tetapi sebenarnya mereka bimbang dibalas tentangan kuat oleh kumpulan pejuang sekutu Iran.

Selain itu, alasan Hizbullah yang melancarkan roket dan dron hampir setiap hari di bahagian utara Israel sejak 8 Oktober tahun lalu sebagai tanda menyokong Hamas, telah menguatkan lagi sebab tentera Israel untuk menghapuskan kumpulan itu.

Melihat peristiwa yang berlaku pada Ahad lalu selepas Israel melancarkan serangan terbaharu mereka di Yemen, perang pasti akan merebak luas atau berlaku pada skala besar.

Serangan rejim Zionis merentasi sempadan hingga ke bandar pelabuhan Hodeidah di Yemen seperti mencurah minyak tanah atas api.

Seperti diketahui, Hizbullah masih mempunyai bekalan senjata yang besar seperti roket dan dron ‘kamikaze’ serta ramai pengikut setia, sekali gus memperlihatkan mereka masih kuat.

Bagaimanapun, jika gencatan senjata yang menjadi kunci utama untuk Palestin, Lubnan dan Isreal dicapai, keamanan di Asia Barat bakal terlaksana. Tapi sebenarnya, ia tidak mungkin berlaku.

* Zulhilmi Hat ialah Wartawan Meja Global Sinar Harian