Bidoglio mahu pemain kekal fokus

Iklan
Kesebelasan utama JDT pada perlawanan berkenaan. Foto Johor Southern Tigers

BIARPUN mencatat kemenangan selesa 3-0, ketika berdepan gergasi Liga Super China, Shanghai Shenhua, pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio enggan mendabik dada bahkan mengingatkan kesemua pemain untuk kekal fokus dalam meraih lebih banyak kejayaan selepas ini.

Menurutnya, skuad Harimau Selatan kendaliannya itu juga perlu menjadi bertambah baik selepas ini dalam semua pertandingan sama ada melibatkan saingan liga tempatan mahu pun di pentas Asia.

Iklan
Iklan

"Pada ketika ini, ya memang saya gembira atas kemenangan yang diraih pasukan ini tetapi ia perlu berterusan dan saya percaya perlawanan-perlawanan akan datang pastinya akan menjadi lebih sukar.

"Bagi saingan liga tempatan mahupun liga juara-juara kesemua pemain perlu meneruskan fokus dan menjadi bertambah baik dalam setiap perlawanan yang diharungi selepas ini.

Iklan

"Apa pun, secara keseluruhannya, saya gembira dengan prestasi yang ditunjukkan pemain bagi menghasilkan kemenangan yang cukup bermakna malam ini (Selasa),” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.

Untuk rekod, JDT menang 3-0 menewaskan Shanghai Shenhua hasil jaringan Arif Aiman Mohd Hanpi, pada minit ke-11, Jorge Obreon (min-26) dan Juan Muniz (min-80).

Iklan

Sementara itu, Arif Aiman berkata, kemenangan berkenaan adalah ibarat hadiah untuk kesemua penyokong JDT yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan selama ini.

Malah, Arif Aiman turut berjanji untuk berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan diharungi selepas ini.

"Bagi saya semua perlawanan penting, saya tak kisah sama ada di local league (liga tempatan) atau pentas Asia, saya selalu persiapkan diri untuk enjoy pada setiap detik kerana di usia mudalah saya kena bekerja keras dan berusaha.

"Selain itu, bukan senang beraksi di pentas ACL bertemu dengan pasukan terbaik di Asia. Oleh itu, saya selalu ingatkan diri saya, tak boleh relax, tak boleh tenang, tak boleh selesa...kena selalu workhard, training (bekerja keras, berlatih), hormati jurulatih dan berikan yang terbaik.

"Lagi pun, sejujurnya saya nak stay di Johor sebab saya tak tahu ke mana saya akan pergi dan kalau boleh dalam karier saya nak stay sampai bila-bila tetapi, dalam masa sama, saya tak boleh selesa, kena kerja keras sampai berjaya,” katanya.