KES orang hilang dan dibunuh secara kejam yang dilaporkan saban hari sangat membimbangkan kerana ia memberi kesan mendalam terhadap semua pihak terlibat lebih-lebih lagi keluarga, masyarakat dan sistem keselamatan.
Kehilangan orang tersayang sudah pasti akan memberi kesan kepada emosi dan lebih parah lagi adalah perasaaan trauma yang mungkin akan menyebabkan beberapa masalah kesihatan mental lain.
Tindakan atau inisiatif untuk membendung jenayah ini perlu dilakukan dengan meluas bagi memastikan negara mendapat persekitaran yang lebih selamat, stabil dan harmoni untuk semua lapisan masyarakat.
Antara kaedah yang boleh dilakukan adalah mewujudkan sistem pelaporan yang mudah diakses untuk orang hilang, termasuk aplikasi mudah alih dan saluran dalam talian.
Mungkin sudah tiba masanya untuk kembalikan semula hukuman mati mandatori.
Selain itu, kerajaan atau pihak berkuasa keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memanfaatkan teknologi untuk memantau kes dilaporkan agar tindakan segera dapat diambil.
Sebelum ini media melaporkan, misteri kehilangan bekas pegawai kewangan sebuah agensi kerajaan, Sabari Baharom, 62, di Baling akhirnya terungkai selepas polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki membunuh mangsa.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, hasil soal siasat suspek, Sabari dikatakan dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.
Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu ditahan pada Jumaat lalu, mengaku melakukan perbuatan berkenaan.
Sementara itu, pada 23 Januari lalu, pihak polis mengesahkan misteri identiti rangka manusia tidak sempurna yang ditemui di sebuah rumah terbengkalai di Lorong Imam Jailani Kampung Batu 7 Tongkang Pecah ialah milik Mira Sharmila Samsusah, 32, atau Bella yang dilaporkan hilang pada 14 Disember tahun lalu.
Tidak cukup kejadian tersebut, pada 24 Mei 2024, seorang wanita mati ditikam, ditoreh di bahagian perut dan dibakar di kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar pada 20 Mei 2024 dipercayai akibat perselisihan faham tentang kehamilan.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata, suspek berusia 20 tahun dipercayai membawa teman wanitanya menaiki sebuah kereta di kebun kelapa sawit itu kira-kira jam 10 malam.
Selang dua bulan kemudian, satu lagi kes menyayat hati dilaporkan berlaku iaitu pada 16 Julai melibatkan penemuan mayat bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah ditemui yang hilang sejak 10 Julai di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada 15 Julai dalam keadaan hampir reput.
Selain itu, pada 12 Ogos lalu, polis mengesahkan penemuan mayat tanpa kepala sah milik Istiqomah Ahmad Rozi, 33 atau Cikgu Istiqomah.
Itu antara kes kehilangan orang yang berakhir air mata akibat kejadian atau penemuan tragik dilaporkan dalam tempoh beberapa bulan sahaja dan situasi ini sangat membimbangkan.
Kesimpulannya, kerajaan atau pihak berkuasa keselamatan negara perlu segera memikirkan kaedah yang boleh dilakukan bagi membendung kes pembunuhan dalam negara.
Jika dibiarkan, jumlah pembunuh akan terus meningkat dan sekiranya mereka terlepas kerana tiada tindakan tegas dikenakan dan ia seolah-olah perbuatan kejam mereka itu ‘dimaafkan'.