Laluan sehala tutup rezeki lebih 300 peniaga tempatan

Iklan
Jalan Bukit Baldwin mengalami kerosakan berikutan pelbagai jenis kenderaan berat melalui jalan tersebut.

SISTEM laluan sehala yang dilaksanakan bermula 23 Ogos lalu menjadikan pekan Tapah di Perak 'popular' di media sosial apabila kerap berlaku kemalangan, premis dirempuh kenderaan dan sebagainya.

Pelan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengubah haluan jalan bagi melancarkan aliran trafik menyulitkan lebih 300 peniaga dan penjaja kecil.

Iklan
Iklan

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, NOOR AINON MOHAMED YUSOF mengenai keluhan peniaga selepas dua bulan sistem jalan sehala itu dilaksanakan.

PERUBAHAN sistem laluan di pekan kecil di daerah Batang Padang itu membuatkan peniaga tidak kira pengusaha kedai runcit atau penjaja mengeluh apabila kehadiran pelanggan berkurangan hingga 60 peratus.

Iklan

Peniaga pasar tani, Lazrul Ayub, 44, berkata, perubahan sistem aliran trafik merupakan tamparan hebat buat dirinya apabila pendapatan melalui perniagaan menjual anak pokok semakin merudum.

"Kami berniaga bukanlah lama, bermula jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari pada setiap hari Ahad. Sebelum ini, kami tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang ke pasar tani selain suasana riuh rendah untuk menarik pelanggan.

Iklan

"Tetapi kini suasana berbeza apabila jam 9.30 pagi, pasar tani mula lengang. Tiada lagi pelanggan yang datang kerana masalah parkir,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Bagi Fauziah Rosli pula, perniagaannya turut terkesan hingga terpaksa menggunakan wang simpanan menampung modal pusingan menjual nasi campur.

Selain itu katanya, premis miliknya yang terletak di tepi Jalan Stesen menyebabkan pelanggan terdedah dengan habuk dan asap kenderaan.

"Pendapatan dijana juga tidak seberapa, malah banyak makanan tidak terjual hingga berlaku pembaziran. Pelanggan yang hadir pun mengadu keadaan jalan berhabuk selain sukar dapat parkir.

"Sudah dua bulan saya terpaksa mengambil upah katering, majlis kahwin atau jamuan kecil bagi menampung perbelanjaan dan modal serta gaji enam pekerja,” katanya.

Fauziah berkata, sekiranya keadaan berterusan, perniagaan yang dibina keluarga sejak sembilan tahun lalu pasti akan tutup kerana tidak mampu menanggung kerugian yang berterusan.

Mohd Supaimi Mat Saad, 61, berkata, emosi tujuh pekerjanya menjadi keutamaan apabila mereka perlu membayar segala pembiayaan, sewa rumah dan sebagainya.

Peniaga sekitar pekan Tapah mahu sistem lalu lintas dikembalikan semula kepada asal bagi kelangsungan perniagaan mereka.

"Sistem jalan sehala ini menyebabkan ruang parkir kurang dan tiada pelanggan mahu datang, malah keadaan pekan ini sudah tidak mesra buat pejalan kaki kerana kenderaan dipandu laju.

"Disebabkan itu, saya terpaksa guna sistem giliran untuk pekerja kerana kehadiran pelanggan sudah kurang. Jika keadaan ini berterusan akan menjejaskan saya untuk membayar gaji pekerja,” katanya.

Menurut Mohd Supaimi, sistem jalan sehala kini tidak praktikal apabila jalan di Bukit Baldwin mengalami kerosakan teruk selepas dilalui kenderaan berat.

"Penunggang motosikal terdedah kepada bahaya kerana berhimpit dengan kenderaan berat dan struktur jalan juga kerap rosak walaupun sudah ditampal berkali-kali.

"Laluan dalam pekan ini sudah tidak lagi mesra pejalan kaki kerana tiada ciri-ciri keselamatan, malah banyak kemalangan dilaporkan berlaku sejak dua bulan lalu,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Daerah Batang Padang, Abdul Rashid Osman berkata, kerugian ketara dialami peniaga menyebabkan lebih 10 kedai sudah gulung tikar setakat ini.

"Penutupan jalan utama menyebabkan tiada tempat letak kereta dan pelanggan sukar berurusan dengan kedai yang ada.

"Banyak aduan daripada peniaga telah diajukan kepada pelbagai pihak berkaitan, namun tiada tindakan diterima. Kita menjangkakan ramai peniaga bakal menutup premis mereka kerana tiada pelanggan,” katanya.

Tambah Abdul Rashid, pihaknya menjalankan inisiatif mengadakan perjumpaan khas antara peniaga dan agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik.

"Kami kecewa apabila agensi terlibat tidak pernah berbincang akan sistem jalan sehala ini, malah banyak lagi isu-isu lain yang diajukan sering diketepikan.

"Kami berharap usaha ini akan mengubah lanskap tatakelola agensi berkaitan tentang keutamaan menjaga kepentingan awan terutamanya peniaga-peniaga sekitar pekan Tapah,” katanya.

Kembali semula kepada asal, elak jadi pekan mati

Lebih 1,000 aduan diajukan kepada JKR dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi dalam talian serta surat, namun tiada maklum balas diterima.

Menurut penduduk, Mohd Hatta Ali, 49, pelaksanaan sistem jalan sehala menyebabkan penduduk terpaksa berpusing untuk ke destinasi selain memberi impak negatif kepada perniagaan dan masjid.

Mohd Hatta

"Sebelum jalan sehala dilaksanakan, saya sudah hantar bantahan tetapi respon diterima hanyalah saya sahaja buat aduan bertulis, seolah-olah aduan saya itu tidak sah.

"Tujuan menyuraikan kesesakan itu sampai tetapi impak kepada penduduk dan peniaga termasuk masjid apabila jemaah pada solat Jumaat berkurangan,” katanya.

Mohd Hatta yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) pernah mencadangkan satu jalan alternatif untuk pengguna ke Jalan Pahang bagi mengelakkan kesesakan.

"Punca kesesakan sebelum ini adalah di stesen minyak lama dan kita mencadangkan jalan di Gudwara dijadikan jalan alternatif menuju ke Jalan Pahang dan Plaza Tol Tapah.

"Selain itu kita minta pihak berkuasa supaya jambatan merentangi Sungai Batang Padang dapat dilebarkan,” katanya.