Dua suri rumah rugi RM16,900 terpedaya sindiket 'phone scam'

Iklan
Dua suri rumah di sini kerugian berjumlah RM16,900 selepas terpedaya dengan sindiket 'phone scam'. Gambar hiasan.

MARANG - Dua suri rumah di sini kerugian berjumlah RM16,900 selepas terpedaya dengan sindiket 'phone scam' atau penipuan melalui panggilan telefon yang menyamar sebagai polis dan pihak syarikat platform e-dagang terkenal.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Razman Setapa berkata, kes pertama melibatkan seorang wanita berusia 40-an yang menerima panggilan telefon daripada pihak berkuasa yang memaklumkan nombor telefon mangsa terbabit kesalahan penipuan.

Iklan
Iklan

"Kemudian panggilan telefon mangsa disambungkan kepada seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan dimaklumkan telah terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram dan dadah.

"Mangsa yang diminta mengisi borang data keselamatan keluarga diarahkan memberi maklumat diri serta maklumat bank serta pengaktifan akses bank secara dalam talian bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.

Iklan

"Mangsa yang menekan pautan notifikasi pengeluaran duit dari akaun bank miliknya itu telah mengalami kerugian berjumlah RM9,600," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Sementara itu, Mohd Razman berkata, kes kedua pula melibatkan seorang suri rumah yang berusia 40-an yang menerima panggilan telefon semalam daripada pihak syarikat platform e-dagang terkenal.

Iklan

Beliau berkata, individu tersebut memaklumkan mangsa telah menjual barangan salah dan tanpa kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Panggilan telefon mangsa disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai polis dengan meminta wanita itu melakukan transaksi bayaran secara dalam talian menerusi nombor akaun bank diberikan.

"Akibat takut dan bimbang ditangkap pihak polis, mangsa telah membuat transaksi berjumlah RM7,300 ke akaun diberikan itu," ujarnya

Mohd Razman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan

Justeru, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati selain melakukan semakan terlebih dahulu sebelum memberi butiran diri dan akaun bank kepada individu tidak dikenali menerusi panggilan telefon.