Ceroboh Lahad Datu: Hukuman mati tujuh warga Filipina kekal

Iklan
Mahkamah Persekutuan pada Rabu mengekalkan hukuman mati terhadap tujuh lelaki warga Filipina, termasuk anak saudara Jamalul Kiram yang mengaku dirinya Sultan Sulu kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong berikutan pencerobohan di Lahad Datu, 11 tahun lepas. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Rabu mengekalkan hukuman mati terhadap tujuh lelaki warga Filipina, termasuk anak saudara Jamalul Kiram yang mengaku dirinya Sultan Sulu kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong berikutan pencerobohan di Lahad Datu, 11 tahun lepas.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan semakan yang dikemukakan oleh kesemua tujuh individu berkenaan.

Iklan
Iklan

"Permohonan kesemua pemohon ditolak dan hukuman mati dikekalkan," kata Hakim Tengku Maimun yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Amar Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.

Tujuh individu itu ialah Datu Amirbahar Hushin Kiram, 60, yang merupakan anak saudara Jamalul Kiram; Atik Hussin Abu Bakar, 52; Basad H. Manuel, 49; Virgilio Nemar Patulada, 59; Al Wazir Osman, 68; Tani Lahad Dahi, 70; dan Julham Rashid, 75.

Iklan

Dalam insiden percerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu antara 12 Februari dan 10 April 2013, sembilan anggota pasukan keselamatan Malaysia terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan tersebut.

Pada 26 Julai 2016, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat terhadap kesemua lelaki itu selepas didapati bersalah melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

Iklan

Mahkamah Tinggi dalam penghakimannya menyatakan tiada keterangan menunjukkan kesemua tertuduh terbabit secara langsung dalam pertempuran yang berlaku semasa pencerobohan itu, ataupun bukti mereka membunuh mana-mana anggota keselamatan secara kejam atau mencederakan sesiapa.

Bagaimanapun, pada 8 Jun 2017, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka selepas membenarkan rayuan pendakwa raya untuk menggantikan hukuman penjara sepanjang hayat kepada hukuman mati.

Hukuman mati itu turut dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 15 Januari 2018.

Bagaimanapun, dua lagi lelaki warga Filipina, Ismail Yasin dan Salib Akhmad Emali yang turut dikenakan hukuman mati atas kesalahan sama tidak mengemukakan permohonan semakan kerana telah meninggal dunia sewaktu menjalani hukuman penjara.

Terdahulu, peguam, Mervyn @ Hasan Sainy memohon supaya mahkamah mengembalikan hukuman penjara sepanjang hayat yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terhadap kesemua anak guamnya atas alasan tiada bukti menunjukkan mereka terbabit secara langsung dalam pencerobohan berkenaan.

"Tiada bukti menunjukkan mereka membunuh sesiapa. Kami percaya apa diputuskan oleh Mahkamah Tinggi adalah betul. Mohon mereka diberi peluang memandangkan umur mereka yang lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memohon agar mahkamah mengekalkan hukuman mati kerana kes itu membabitkan kedaulatan negara.

Beliau berkata, kes itu melibatkan jenayah berat dan hukuman pencegahan mesti dikenakan bagi mengelak kesalahan sama berulang.

"Magnitud kes ini adalah berbeza daripada yang lain, dengan sembilan anggota polis terkorban, beberapa daripada mereka dipenggal dan dicincang. Pencerobohan ini dilakukan oleh musuh asing, dan kita tidak boleh menghantar isyarat yang salah kepada orang awam.

"Oleh itu, hukuman mati mesti dikekalkan,” kata Mohd Dusuki.

Mohd Dusuki juga dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim dan Tetralina Ahmad Fauzi. - Bernama