Henti subsidi pendidikan golongan kaya tepati konsep keadilan sosial - GPMS

Iklan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Muhammad Danial

GEORGE TOWN - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyokong penuh terhadap hasrat kerajaan yang akan menghentikan subsidi pendidikan kepada anak golongan kaya di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Naib Presiden Siswa GPMS, Muhammad Danial Alimin berkata, pihaknya melihat langkah itu sebagai satu inisiatif yang bertepatan dengan konsep keadilan sosial dan tanggungjawab moral yang diperjuangkan oleh kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, GPMS berpendapat bahawa subsidi pendidikan tinggi yang diberikan secara menyeluruh selama ini perlu disasarkan dengan lebih baik agar anak-anak daripada golongan B40 dan sebahagian M40 dapat menikmati manfaat yang lebih adil.

"GPMS menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan kepentingan memastikan golongan rentan dan berpendapatan rendah terus menerima manfaat yang sewajarnya, sementara golongan T20 perlu lebih bertanggungjawab dalam hal ini.

Iklan

"GPMS juga merasakan bahawa sekiranya cadangan penghentian subsidi kepada anak golongan kaya ini dapat dilaksanakan, peruntukan subsidi yang dijimatkan boleh diagihkan dengan lebih fokus kepada pelajar yang benar-benar memerlukan, terutamanya daripada kalangan mahasiswa keluarga B40," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Anwar memberi bayangan kerajaan mungkin menghentikan subsidi membiayai pendidikan anak golongan kaya di sekolah awam terbaik negara.

Iklan

Menyifatkan tindakan membiarkan ketirisan subsidi besar seperti itu berterusan sebagai tindakan tidak adil, Anwar menegaskan bahawa dana berkenaan sepatutnya boleh diagih kepada golongan miskin.

Susulan daripada itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebarang langkah menghentikan subsidi pendidikan kepada anak golongan kaya di IPTA hanya akan dilaksana selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Zambry berkata, apa dibangkitkan Anwar itu menunjukkan kerajaan cakna dan mahu golongan berpendapatan tinggi punya tanggungjawab moral terhadap ruang pendidikan kepada golongan rentan yang lebih memerlukan.

Mengulas lanjut, Muhammad Danial berkata, sekiranya penghentian subsidi itu dilaksanakan, ia akan memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada golongan berpendapatan rendah yang sering menghadapi cabaran kewangan dalam meneruskan pengajian mereka.

"Pengagihan semula subsidi ini juga boleh digunakan untuk meningkatkan kemudahan pembelajaran, biasiswa dan bantuan kewangan kepada mahasiswa yang layak.

"Dengan cara ini, mahasiswa B40 akan lebih berpeluang untuk menamatkan pengajian tanpa beban kewangan yang berat, seterusnya meningkatkan mobiliti sosial dan kualiti hidup mereka," katanya.

Selain itu menurutnya, pendekatan ini juga dapat mengurangkan ketidakseimbangan dalam penggunaan dana awam.

"Perkara ini akan memberi ruang kepada kerajaan untuk menyusun semula perbelanjaan pendidikan dengan lebih efisien dan menyasarkan sumber kepada golongan yang paling memerlukan.

"Golongan kaya yang mempunyai kemampuan kewangan lebih tinggi tidak lagi bergantung kepada subsidi yang seharusnya diutamakan kepada mereka yang berpendapatan rendah.

"Prinsip ini juga akan mendidik masyarakat tentang tanggungjawab sosial dan kepentingan memberi laluan kepada golongan rentan dalam mendapatkan hak pendidikan," ujarnya lagi.

Muhammad Danial menambah, GPMS juga mengalu-alukan saranan Anwar supaya anak golongan kaya tidak lagi mengambil kesempatan ke atas subsidi yang sepatutnya disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan.

"Tanggungjawab moral dan sosial golongan berada ini perlu difahami dengan mendalam dan kami percaya bahawa prinsip ini akan membina masyarakat yang lebih adil dan harmoni.

"GPMS berharap inisiatif-inisiatif ini akan membantu memperkukuh sistem pendidikan negara dan memastikan setiap golongan mendapat peluang pendidikan yang adil dan setara," katanya.