KUALA SELANGOR - Keluarga kepada Norasmidah Syamsul Bahari, 20, yang menghilangkan diri sejak Isnin lalu buntu memikirkan keselamatan anak mereka yang masih belum ditemui.
Bapanya, Syamsul Bahari Abdul Karim, 42, berkata, pelbagai usaha dilakukannya bagi mencari Norasmidah atau lebih mesra dengan panggilan 'Kak Chik'.
Syamsul Bahari yang menetap di Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram memberitahu, usaha pencarian dilakukan di sekitar kawasan perindustrian di Shah Alam hingga ke Kampung Sungai Sireh, Tanjong Karang.
"Pulanglah Kak Chik, ingat mak dan ayah kerana kami buntu memikirkan keselamatan kamu lebih-lebih lagi sudah masuk hari kedua tidak balik ke rumah.
"Puas kami sekeluarga mencari, namun Kak Chik belum ditemui dan berharap dia pulang semula ke pangkuan keluarga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menurut Syamsul Bahari, anak ketiga daripada enam beradik itu sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk berkahwin dua minggu sebelum kehilangannya.
"Saya ada beritahu Kak Chik, kalau berhajat hendak kahwin suruh teman lelaki datang ke rumah jumpa kami terlebih dahulu.
"Sebelum berkahwin, keluarga mesti kena kenal dulu lelaki terbabit dan saya pun tiada halangan jika dia (Kak Chik) hendak kahwin asalkan berbahagia.
"Tapi, bila jadi macam ini, kami sekeluarga pula risau sebab tidak tahu dia pergi mana dan tak pulang ke rumah," jelasnya.
Syamsul Bahari memberitahu, dia juga beberapa kali menghubungi teman lelaki anaknya, namun dimaklumkan tidak mengetahui kehilangan Kak Chik.
"Rakan Kak Chik pula beritahu kami, dia (Kak Chik) mengadu bosan dan rasa terkongkong duduk rumah, dia hendak keluar kerja," ujarnya.
Syamsul Bahari memberitahu, keluarga amat merayu Norasmidah pulang dan berbincang dengan keluarga sebelum membuat sebarang keputusan.
Menurut Syamsul Bahari, isterinya, Siti Salmiah Mansor, 47, ketika ini amat tertekan dan sering memikirkan anak mereka.
"Isteri saya kerap termenung dan saya selalu menasihatkan dia supaya kuat dan banyakkan berdoa agar Kak Chik pulang segera," katanya.
Ujarnya, anak perempuan mereka itu disedari hilang kira-kira jam 12.30 malam pada Isnin sewaktu terjaga untuk ke tandas.
Syamsul Bahari berkata, dia yang terjaga ketika itu terkejut apabila mendapati kunci pintu depan rumah terbuka sebelum mengejutkan isterinya di dalam bilik tidur.
"Saya dan isteri kemudiannya memeriksa dalam bilik Kak Chik dan terkejut sebaik menarik selimut apabila hanya tinggal bantal peluk dia sahaja, manakala Kak Chik sudah tiada.
"Penduduk kampung mendakwa ternampak Kak Chik keluar mengikut seseorang menaiki kereta sedan berwarna putih, namun tidak pasti kebenarannya," tambahnya.
Sehubungan itu, katanya, keluarga merayu mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan Norasmidah menghubunginya di talian 011-37985062 atau 018-3191475 (Salmiah).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin mengesahkan kejadian itu.
Azaharudin berkata, laporan polis dibuat bapa remaja terbabit di Balai Polis Jeram kira-kira jam 4 pagi Isnin.
"Setakat ini polis masih menjalankan siasatan berhubung kehilangan remaja perempuan berkenaan," katanya.