KUBANG PASU - Operasi pencarian pesara Felcra Sabari Baharom, 62, yang dibunuh dan dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Jambatan Kampung Empa di sini diteruskan pada hari ketiga pagi Rabu.
Operasi bermula jam 10 pagi melibatkan anggota serta pegawai Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Difahamkan radius pencarian meliputi 13 kilometer sepanjang sungai terbabit bermula dari Jambatan Lubuk Batu ke Jambatan Kepala Batas dekat sini.
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh sebelum ini mengesahkan penahanan suspek dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun, Jumaat lepas bagi membantu siasatan kes kehilangan Sabari.
Sabari hilang sejak 4 September lalu dan kereta jenis Proton Waja dinaiki mangsa kemudiannya ditemui hangus di Belantik, Sik.
Anak-anak mangsa kemudiannya mengesan berlaku transaksi pemindahan wang dari akaun bapa mereka kepada akaun yang tidak dikenali.