BANGKOK - Seramai 22 murid dan tiga guru maut dalam insiden kebakaran bas pada Selasa di Jalan Vibhavadi Rangsit di wilayah Pathum Thani dekat Bangkok, lapor Thaiger.
Menurut kemas kini oleh portal KhaoSod, bas yang dinaiki semua 44 murid yang berumur tiga dan sembilan tahun bersama guru mereka dari Sekolah Wat Khao Phraya Sangkharam di Uthai Thani dalam perjalanan ke Taman Bersejarah Ayutthaya dan Pusat Pembelajaran Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand di Nonthaburi.
Insiden berlaku apabila tayar bas tersebut pecah dan menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan di sebelah kanan dan mencetuskan kebakaran.
Media tempatan melaporkan murid terbabit menaiki tiga bas berasingan dan kebakaran berlaku terhadap bas yang ketiga atau terakhir.
Selepas api berjaya dipadamkan anggota penyelamat memeriksa bas dan mendapati lebih 10 mangsa terbaring tidak bernyawa berhampiran pintu keluar kecemasan dan pintu lain.
Pada awalnya, agensi berita Thailand melaporkan seramai 10 murid terkorban dalam kejadian itu manakala 19 lagi berjaya melarikan diri dan 15 masih hilang.
Kemas kini terbaru dari KhaoSod sekitar jam 2 petang Selasa (waktu tempatan) melaporkan seramai 25 mangsa maut dalam kebakaran bas itu, termasuk 22 murid dan tiga guru.
Bagaimanapun umur dan identiti mangsa terkorban masih belum didedahkan. Tiada laporan mengenai pemandu bas tersebut.
Seorang guru yang berjaya menyelamatkan diri memberitahu KhaoSod bahawa ketika api sedang marak, dia cuba memindahkan setiap murid tetapi pintu tidak berjaya membukanya menyebabkan ramai murid dan guru terperangkap di dalam bas tersebut. - Agensi