MARANG - Sebanyak 571 helai pakaian bernilai RM19,985 yang dipakaikan cap dagangan secara salah menggunakan jenama Adidas dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu dalam Ops Jeriji semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Terengganu, Nor Azmi Lamisza berkata, dalam operasi bermula jam 11 pagi hingga 3 petang bersama wakil pemilik cap dagang berdaftar itu, dua pemilik premis berusia 46 dan 34 tahun turut ditahan dalam dua serbuan berasingan.
Menurutnya, dalam serbuan pertama di sebuah premis di Jalan Kuala Berang, pihaknya merampas sejumlah 139 helai baju jersi dan 192 helai seluar yang dipakaikan cap dagangan secara salah dengan nilai rampasan dianggarkan RM11,585.00.
"Rampasan kedua pula melibatkan 240 helai dilakukan di sebuah premis yang terletak di Pekan Bukit Payong dengan anggaran nilai sitaan RM8,400.
"Serbuan ini dijalankan hasil risikan dan aduan pemilik cap dagang yang kemudiannya berjaya membongkar aktiviti peniaga tidak beretika yang ingin dapatkan keuntungan dengan cara mudah hingga mengabaikan kepentingan pengguna," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nor Azmi berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagang 2019 dan pesalah boleh dihukum mengikut Seksyen 100(1)(ii) di bawah akta yang sama iaitu denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih pakaian berjenama dalam pasaran supaya tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika dan cuba mengambil keuntungan mudah.
"KPDNHEP Terengganu mengalu-alukan kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan maklumat melalui saluran yang telah ditetapkan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
"Aduan boleh disalurkan melalui talian bebas tol 1-800-886-800, aplikasi WhatsApp 019-279 4317, secara atas talian http://eaduan.kpdnhep.gov.my dan khidmat pesanan ringkas ke 15888 dengan menaip KPDNHEP ADUAN atau hadir sendiri ke pejabat berhampiran," katanya.