KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri Kelantan menumpukan perhatian kepada 610 'hotspot' banjir di negeri ini dalam persediaan menghadapi bencana itu.
Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, lebih 1,300 anggota seluruh negeri kini dalam keadaan bersiap sedia sebaik sahaja memasuki Monsun Timur Laut.
Menurut beliau, tiga daerah dalam keadaan berjaga-jaga iaitu Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat.
"Daerah berkenaan mungkin berdepan limpahan air seperti tahun lalu kerana difahamkan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) masih dalam pembinaan.
"Limpahan dikhuatiri berlaku di sekitar Rantau Panjang yang turut mengakibatkan banjir termenung," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Tamat Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Siri 3/2024 di Pusat Latihan Negeri, Balai Bomba dan Penyelamat Bachok pada Rabu.
Zainal memberitahu, persiapan awal dilakukan dengan menempatkan logistik di kawasan berkenaan termasuk sebuah helikopter dan tambahan logistik lain bagi membantu mangsa banjir.
"Persediaan awal perlu kerana mengikut pengalaman sebelum ini akan berlaku banjir menyebabkan beberapa kawasa terputus hubungan.
"Jumlah anggota bomba juga ditambah dan mereka kini melakukan persiapan rapi untuk penugasan 24 jam di 'hotspot' terlibat," katanya.
Jelas beliau, jika kedaaan banjir serius, anggota bomba dari negeri lain termasuk akan membantu.