ADAS 2024: Kenderaan taktikal buatan syarikat Malaysia curi tumpuan

Iklan
HMLTV menjadi tarikan delegasi yang terdiri daripada wakil-wakil tentera, pasukan keselamatan dan agensi kerajaan dari seluruh dunia.

KENDERAAN Taktikal Ringan Mobiliti Tinggi (HMLTV) buatan syarikat Malaysia telah diperkenalkan dalam pameran Asian Defense and Security (ADAS) 2024 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia, Metro Manila, Filipina pada 25 hingga 27 September lalu.

Mildef International Technologies Sdn Bhd (Mildef) dalam satu kenyataan berkata, keupayaan serba guna HMLTV telah menarik perhatian delegasi yang terdiri daripada wakil-wakil tentera, pasukan keselamatan dan agensi kerajaan dari seluruh dunia.

Iklan
Iklan

"HMLTV itu merupakan sebuah kenderaan taktikal ringan yang lebih kecil berbanding kenderaan berperisai mobiliti tinggi (HMAV) Tarantula.

"Kenderaan ini boleh diubah suai mengikut keperluan, sama ada sebagai kenderaan perisai ringan, rondaan atau pengiring,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Iklan
Mildef berjaya menonjolkan kemampuan teknologi pertahanan tempatan, sekali gus memperkukuh kedudukan mereka sebagai peneraju dalam industri ini.

Tambah kenyataan itu, penyertaan Mildef dalam pameran antarabangsa berkenaan bukan sahaja membuka peluang untuk memperluaskan rangkaian kerjasama dengan negara lain, malah meningkatkan kepercayaan terhadap kualiti produk pertahanan keluaran tempatan.

Dengan penyertaan aktif, Mildef berkata, pihaknya berjaya menonjolkan kemampuan teknologi pertahanan tempatan, sekali gus memperkukuh kedudukan mereka sebagai peneraju dalam industri berkenaan.

Iklan

Jelasnya, melalui pameran tersebut, Mildef juga dapat mengenal pasti peluang baharu untuk mengembangkan pasaran di peringkat global.

"Mildef akan terus menunjukkan komitmen untuk meluaskan pengaruhnya di peringkat global dengan penyertaan aktif dalam pameran pertahanan antarabangsa.

"Langkah ini merupakan usaha penting dalam memperkenalkan teknologi pertahanan tempatan kepada dunia,” ujarnya.

Sebelum ini, Mildef pernah menyertai beberapa pertunjukan utama seperti Eurosatory 2024 di Paris, Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) serta Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Mei lalu.