Lelaki Bangladesh didakwa heret kucing sambil tunggang motosikal

Iklan
Seorang pekerja pembersihan warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu atas pertuduhan mencederakan seekor kucing.

SHAH ALAM - Seorang pekerja pembersihan warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan mencederakan seekor kucing dengan menunggang motosikal sambil mengheret haiwan itu atas jalan raya pada bulan lalu.

Monotosh, 41, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim, Rasyihah Ghazali.

Iklan
Iklan

OKS didakwa bersama-sama seorang lelaki yang masih bebas menunggang motosikal jenis SYM sambil mengheret seekor kucing dewasa yang diikat menggunakan alat penjerut atas jalan raya dengan kejam sehingga menyebabkan binatang itu kesakitan.

Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan perumahan di Seksyen 31 antara jam 2 hingga jam 2.15 petang pada 7 September lalu.

Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, pegawai Pendakwa, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd Sharif Sabran mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin tempatan dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Peguam, K Bagia Sri Devi yang mewakili OKS merayu kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya perlu menyara keluarga di negara asal.

"Dokumen perjalanan OKS telah diserahkan kepada mahkamah dan dia telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa sejak disiasat," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-duanya pihak, Rasyihah membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM13,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dengan syarat tambahan, melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah, sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 4 November depan.