Pelajar Tingkatan Lima maut dalam perjalanan ke sekolah

Iklan
Keadaan kereta Honda CRZ dan motosikal ditunggang mangsa maut selepas terbabit kemalangan. Gambar kecil: Muhammad Rusyaidi

MELAKA - Seorang pelajar Tingkatan Lima maut dalam perjalanan ke sekolah selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan di Jalan Dato Mat Zin Batu Berendam di sini pada awal pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu mangsa, Muhammad Rusyaidi Mohd Razali, 17, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y110 dipercayai dari rumahnya di Taman Merdeka menghala ke sekolah berkenaan.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X Trail yang dipandu lelaki berusia 40 tahun hendak masuk ke simpang sebelah kanan jalan menghala kedai bengkel kereta.

Iklan

Beliau berkata, mangsa dari arah belakang telah memotong garisan berkembar di sebelah kanan kenderaan terbabit menyebabkan berlaku pergeselan, lalu motosikal mangsa terbabas ke arah kanan jalan.

Remuk motosikal Yamaha Y110 yang ditunggang mangsa.

Iklan

"Pada masa sama sebuah kereta Honda CRZ yang dipandu seorang perancang perkahwinan berusia 41 tahun dari arah bertentangan tidak sempat mengelak menyebabkan kenderaan itu telah menyeret motosikal mangsa ke arah kiri jalan.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.

"Pemandu kedua-dua kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Polis turut mengesan saksi kejadian bagi nenjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya lagi.