Belanjawan 2025: Kerajaan Terengganu harap peruntukan adil

Iklan
Ahmad Samsuri (tengah) ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu mengharapkan peruntukan lebih adil diberikan kepada semua negeri melalui Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengagihan hasil negara harus seimbang dan diberi keutamaan kepada negeri yang memerlukan peruntukan lebih akibat daripada jurang atau ketidakseimbangan pembangunan.

Iklan
Iklan

"Kita berharap kerajaan pusat lihat apa sebenarnya yang berlaku dalam negara kita...kepada rakyat, kepada negeri-negeri dan keadilan bukan sekadar diucapkan tetapi hendaklah ditegakkan.

"Saya berharap tidak ada tindakan drastik seperti cukai-cukai baharu yang boleh menekan rakyat memandangkan mereka sudah terbeban dengan kos sara hidup dan sebagainya,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu di sebuah dewan di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di sini pada Rabu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membentangkan Belanjawan 2025 iaitu belanjawan ketiga di bawah Kerajaan Perpaduan pada 18 Oktober ini di Dewan Rakyat.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, negeri-negeri pembangkang juga tidak seharusnya dipinggirkan selain dinafikan hak dalam mendapatkan peruntukan secara adil.

Beliau menyatakan mana-mana negeri tidak kira pembangkang atau sebaliknya merupakan negeri yang membentuk satu persekutuan dinamakan sebagai Malaysia.

"Hasil kerja kuat negeri-negeri dari segi perkhidmatan dan sebagainya turut menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

"Jadi kalau ada negeri-negeri yang tidak mendapat keadilan yang sewajarnya maka sudah tentu ia memberi kesan kepada KDNK dan pencapaian negara kita.

"Oleh itu, isu ini haruslah diselesaikan dan begitu juga politik-politik...tetapi selama mana kita ingin berpolitik yang boleh menyebabkan negeri-negeri tertentu dalam negara ini dinafikan hak mereka,” jelas beliau.