Banjir di Baling: PBAPP ambil langkah elak gangguan air di Pulau Pinang

Iklan
Gambar hiasan (Gambar kecil: Pathmanathan)

GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengambil beberapa langkah bagi mengelakkan gangguan bekalan air tidak berjadual (UWSI) di negeri ini susulan bencana banjir yang melanda Kedah ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan berkata, berikutan laporan berita banjir kilat di Baling dan mesej amaran daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), PBAPP mengaktifkan beberapa pelan tindak balas kecemasan (ERP) di Sungai Muda antaranya pemantauan berterusan setiap jam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan tersebut dibuat sejak jam 8 pagi, Selasa.

"Sehingga jam 1 pagi tadi (Rabu), kita berjaya mengelakkan UWSI di Pulau Pinang susulan banjir di Baling, Kedah.

Iklan

"Antara tindakan yang diambil adalah pemantauan setiap jam bagi tahap kekeruhan air mentah Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang (Pulau Pinang) dan Kuala Ketil iaitu 24 kilometer (km) hulu di Kedah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Pathmanathan, selain itu, PBAPP turut melepaskan air mentah daripada 72 juta liter sehari (JLH) kepada 240 JLH dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD).

Iklan

"Tujuannya adalah untuk mencairkan kekeruhan air mentah di lokasi kemasukan ke LRA Sungai Dua (kolam pengimbang).

"Banjir di Baling semalam telah menghanyutkan serpihan dan sisa ke dalam Sungai Muda menyebabkan air sungai menjadi keruh daripada biasa di muka sauk Lahar Tiang milik PBAPP di Seberang Perai," ujarnya.

Menurut beliau lagi, pada jam 5 petang Rabu, tahap kekeruhan air sungai mencatatkan 400 NTU (unit kekeruhan nefelometrik) di Lahar Tiang.

"Tahap kekeruhan biasa ialah 200 NTU. Sungai Muda merupakan sumber air mentah utama bagi Pulau Pinang.

"PBAPP mengepam air dari sungai ini setiap hari ke loji rawatan air terbesar dan paling penting di Pulau Pinang iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua," tambahnya.

Pathmanathan berkata, bencana banjir di Baling pada Julai 2022 telah memberi pengajaran kepada pihaknya.

"Kejadian banjir Baling sebelum ini menyebabkan kekeruhan air Sungai Muda mencecah sehingga 3,000 NTU di Lahar Tiang.

"Kejadian itu memaksa PBAPP mengurangkan pengabstrakan air mentah dari Sungai Muda, yang seterusnya menyebabkan pengeluaran air terawat di Sungai Dua menurun.

"Air terawat yang tidak mencukupi dari LRA Sungai Dua membawa kepada UWSI di Pulau Pinang yang menjejaskan kira-kira 465,000 pengguna air," katanya.

Menurutnya, walaupun tiada UWSI yang berlaku selepas 24 jam kejadian banjir di Baling, PBAPP akan terus melaksanakan ERP untuk 48 jam akan datang sebagai langkah keselamatan, sekiranya berlaku lonjakan mendadak yang tidak diduga dalam kekeruhan air mentah dari Sungai Muda.